Lapor secara senyap isu Ayah Pin - MAIDAM

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook Imam Muda Kulan mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan tertentu sekitar Besut.
Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook Imam Muda Kulan mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan tertentu sekitar Besut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai diminta membuat laporan secara senyap kepada pihak berwajib sekiranya mendapati wujud sebarang aktiviti mencurigakan atau unsur menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail menyatakan menerusi tindakan itu dapat memudahkan urusan pihak berwajib termasuk pihak pejabat agama dan polis menjalankan siasatan ajaran sesat tersebut secara lancar bagi mengesan pelaku terlibat.

"Saya memohon kepada orang ramai untuk beri kerjasama. Jika ada unsur-unsur ajaran Ayah Pin itu dihidupkan semula segera lapor kepada kita (pejabat agama).

"Laporkan secara senyap-senyap, jangan lapor sesuatu isu dan berita tidak sahih serta diperbesarkan (media sosial)," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat MAIDAM di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, pihak berwajib juga sudah menjalankan siasatan berhubung isu berkenaan namun setakat ini tidak mengesan sebarang aktiviti mencurigakan atau bukti menunjukkan ajaran sesat itu kembali tersebar.

"Situasi di Terengganu ini masih dalam keadaan terkawal. Kita bersama pihak berkuasa sentiasa melakukan pemantauan bagi mencegah ajaran sebegini daripada menular.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti tersebut dinasihatkan segera laporkan kepada pihak berkuasa bagi memudahkan tindakan lanjut diambil," jelasnya.

Pada 18 Mac lepas, Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan Terengganu dengan kerjasama pihak berkaitan akan mengambil pendekatan melalui pelbagai kaedah untuk mendekati dan menjalin hubungan baik dengan ahli keluarga serta saudara-mara pemimpin ajaran sesat Ayah Pin, atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, selain sebagai usaha membawa mereka ke jalan yang benar, hubungan baik itu juga untuk memantau dan memastikan ajaran sesat tersebut tidak kembali tersebar.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook Imam Muda Kulan mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan tertentu sekitar Besut.

Tindakan Imam Muda Kulan itu didakwa dilakukan selepas menerima pewartaan oleh Pejabat Agama Daerah Besut bagi memaklumkan mengenai penularan kembali ajaran sesat tersebut.

Ia bagi memastikan seluruh warga Besut dapat menjaga ahli keluarga atau kelompok kampung mereka agar tidak terlibat dengan ajaran Ayah Pin yang telah diwartakan sesat pada 1997.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa MAIDAM pada 1997 mengeluarkan fatwa bahawa ajaran itu adalah sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin yang mempunyai 150 pengikut.

Ayah Pin meninggal dunia pada 22 April 2016 pada usia 74 tahun di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut akibat sakit tua.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!