Hukuman mati kesalahan dadah wajar dimansuh - Kajian

KUALA LUMPUR – Hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah wajar dimansuhkan sebagai langkah seterusnya dalam reformasi sistem keadilan jenayah Malaysia.
Cadangan itu antara dapatan utama ringkasan polisi 'Rethinking Capital Punishment for Drug Offences in Malaysia' yang diterbitkan bersama Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN), School of Arts and Social Sciences Universiti Monash Malaysia (SASS) dan Eleos Justice di Monash Law (EJ).
Ringkasan polisi itu dilancarkan di Parlimen pada Selasa dengan mengemukakan cadangan reformasi berkaitan hukuman mati yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab terutama bagi kesalahan pengedaran dadah.
Menerusi kenyataan bersama, ADPAN, SASS dan EJ berkata, kajian mendapati persepsi awam terhadap hukuman mati semakin berubah, dipengaruhi pengalaman hidup, media sosial serta pendedahan terhadap kes dan perkembangan dasar di Singapura serta negara jiran.
"Perubahan tersebut menunjukkan sokongan awam terhadap hukuman mati bagi kesalahan dadah tidak lagi semestinya menjadi halangan utama kepada usaha melakukan reformasi.
"Sejak penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, hukuman mati kini menjadi hukuman budi bicara bagi 27 kesalahan termasuk pengedaran dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," kata kenyataan bersama itu pada Selasa.
Menurutnya, proses penghukuman semula dan pengenalan budi bicara kehakiman turut menyaksikan jumlah penghuni bilik akhir berkurangan daripada 1,275 orang pada 2023 kepada 140 orang pada Januari 2025 dan 97 orang pada November tahun sama.
Bagaimanapun, individu yang disabitkan kesalahan berkaitan dadah masih membentuk 21 peratus daripada keseluruhan penghuni bilik akhir pada 2025.
Dalam pada itu, Pengarah Eleos Justice dan Timbalan Co-Convenor ADPAN, Sara Kowal berkata, Malaysia perlu dipuji atas kemajuan penting dalam melakukan reformasi terhadap undang-undang hukuman mati.
Menurutnya, hukuman mati dalam praktiknya memberi kesan kepada golongan rentan termasuk mereka yang hidup dalam kemiskinan, masyarakat terpinggir dan orang kurang upaya (OKU).
“Memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan dadah adalah langkah pragmatik seterusnya dan mengiktiraf bahawa hukuman mati bagi kesalahan dadah melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Kajian itu turut mengenal pasti empat kelemahan struktur yang menimbulkan ketidakpercayaan peserta terhadap institusi berkaitan hukuman mati iaitu rasuah, akses keadilan tidak seimbang, penggunaan budi bicara kehakiman tidak konsisten serta penguatkuasaan undang-undang dadah yang didakwa mempunyai unsur diskriminasi.
Selain itu katanya, kajian turut mendapati faktor kemiskinan, peminggiran dan penipuan boleh menyebabkan individu tertentu terjebak sebagai kurier dadah khususnya golongan berpendapatan rendah, wanita yang berdepan ketidaktentuan ekonomi dan minoriti etnik.
Timbalan Ketua Pusat Pengajian (Penyelidikan) dan Pengarah Bersama Eleos Justice, Dr Thaatchaayini Kananatu pula berkata, dapatan kajian menunjukkan sentimen awam bukan lagi halangan undang-undang atau politik untuk memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah.
“Cadangan utama kami adalah untuk memansuhkan hukuman mati, bermula dengan jenayah dadah,” katanya.
Kajian yang dijalankan antara Mei hingga Julai 2026 itu melibatkan lima perbincangan kumpulan fokus membabitkan 31 peserta termasuk belia, wakil masyarakat sivil, profesional, usahawan serta pemimpin lima kumpulan agama utama.
Dapatan tersebut seterusnya akan digunakan ADPAN sebagai asas advokasi dan strategi kempen bagi menggalakkan reformasi hukuman mati di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
