Pemaju perlu bertanggungjawab insiden tanah runtuh, laporan lengkap MBPP siap dua hari

GEORGE TOWN – Pemaju dan pemilik tanah di kawasan cerun berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini perlu bertanggungjawab terhadap tragedi yang meragut nyawa seorang doktor dalam kejadian pada Ahad lalu.
Kedua-dua pihak itu juga perlu melaksanakan kerja mitigasi bagi menjamin keselamatan kawasan berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihak terbabit perlu berdepan implikasi undang-undang sekiranya terdapat pelanggaran berkaitan kelulusan pelan pembangunan selain memastikan langkah pemulihan dan penstabilan cerun dilaksanakan.
Menurutnya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta kepada pemaju dan menetapkan tempoh tujuh hari untuk mengemukakan pelan mitigasi bagi menangani risiko keselamatan di tapak berkenaan.
“Mereka perlu bertanggungjawab atas kesan-kesan daripada runtuhan ini, maksudnya memikul implikasi undang-undang, daripada segi kelulusan pelan itu dan kerja-kerja mitigasi untuk memulihkan keselamatan tapak,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut menjejaskan kediamannya.
Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 80-an bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Mengulas perkembangan siasatan, Kon Yeow berkata, laporan lengkap berhubung kejadian itu dijangka disiapkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi selepas pihaknya menerima maklumat awal daripada MBPP, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang serta Jabatan Kejuruteraan MBPP.
Beliau berkata, laporan awal mendapati runtuhan berlaku pada bahagian tapak yang belum menjalani kerja penstabilan cerun.
"Keadaan itu dipercayai berisiko menjadi lebih buruk susulan hujan berterusan sejak beberapa hari sebelum kejadian yang menyebabkan air meresap ke dalam tanah dan menambah beban pada cerun berkenaan.
"Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih perlu disahkan menerusi laporan lengkap pihak berkuasa berkaitan," ujarnya.
Mengenai projek pembangunan kondominium di kawasan tersebut, Kon Yeow menjelaskan, kelulusan asal diberikan pada 1996 sebelum projek berkenaan melalui beberapa perubahan termasuk pertukaran pemilik tanah dan pemaju serta penyesuaian garis panduan pembangunan.
"Kelulusan terkini bagi projek itu hanya diberikan pada 2023 selepas memenuhi keperluan yang ditetapkan.
“Ini menunjukkan bahawa MPPP tidak sewenang-wenangnya memberi kelulusan, cuma tertakluk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa, syarat-syarat teknikal, keperluan impak alam sekitar, trafik, impak sosial dan sebagainya yang sudah pun dipenuhi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mengarahkan MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mempertingkat pemantauan terhadap semua projek pembangunan terutama yang terletak di kawasan cerun sepanjang musim hujan.
"Kerja pembinaan tertentu juga boleh dihentikan sementara bagi membolehkan pemaju memberi tumpuan kepada pemantauan keselamatan tapak serta melaksanakan langkah mitigasi dengan segera jika diperlukan," katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, keputusan membenarkan penduduk rumah berhampiran yang terjejas kembali ke kediaman masing-masing bergantung kepada hasil penilaian pihak berkuasa terhadap tahap keselamatan kawasan serta kestabilan cerun.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa selain memaklumkan kerajaan negeri serta MBPP bersedia memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

