Kerajaan Terengganu pantau ajaran Ayah Pin

Pemandangan penempatan bekas 'kerajaan langit' Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad di Kampung Batu 13 di Hulu Besut hari ini. Foto Bernama
Pemandangan penempatan bekas 'kerajaan langit' Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad di Kampung Batu 13 di Hulu Besut hari ini. Foto Bernama
A
A
A

JERTIH - Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak berkaitan akan mengambil pendekatan mendekati dan menjalin hubungan baik dengan ahli keluarga serta saudara-mara pemimpin ajaran sesat Ayah Pin, atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad, melalui pelbagai kaedah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, selain sebagai usaha membawa mereka ke jalan yang benar, hubungan baik itu juga untuk memantau dan memastikan ajaran sesat tersebut tidak kembali tersebar.

Muhammad Khalil pada sidang media selepas bertemu serta menyantuni balu kepada pengasas ajaran sesat Ayah Pin di kediamannya di Kampung Batu 13 di Hulu Besut hari ini. Foto Bernama
Muhammad Khalil pada sidang media selepas bertemu serta menyantuni balu kepada pengasas ajaran sesat Ayah Pin di kediamannya di Kampung Batu 13 di Hulu Besut hari ini. Foto Bernama

"Saya sudah bercakap dengan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Hulu Besut (Mohd Husaimi Hussin). Insya-Allah mereka akan ambil pendekatan dan buat penglibatan lebih rapat dengan mereka.

"Pendekatan yang diambil melibatkan pelbagai kaedah seperti (menjaga) kebajikan, pendidikan dan kaunseling,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan penempatan ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin di Kampung Batu 13, di Hulu Besut dekat sini.

Reaksi balu kepada pengasas ajaran sesat Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad. Foto Bernama
Reaksi balu kepada pengasas ajaran sesat Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad. Foto Bernama

Tinjauan di kawasan seluas kira-kira dua hektar yang menempatkan 38 rumah itu turut disertai Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan dan Mohd Husaimi yang meluangkan masa hampir 30 minit meninjau serta bertemu seorang daripada balu Ayah Pin, Che Jaharah Awang, 64.

Bagaimanapun, Muhammad Khalil berkata, pihaknya setakat ini tidak melihat sebarang aktiviti mencurigakan atau bukti menunjukkan ajaran sesat yang pernah menggemparkan negara dengan ‘Kerajaan Langit’ itu kembali tersebar.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat semuanya dalam keadaan terkawal, tidak ada kegiatan mencurigakan sebagaimana yang diuar-uarkan. Secara zahirnya, semua dalam keadaan baik,” katanya.

Mazli pula berkata, pihak polis memberi jaminan akan terus memantau bagi memastikan ajaran sesat sebegini tidak mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam di Terengganu.

Muhammad Khalil (kiri) bersama Mazli (dua dari kiri) bertemu serta menyantuni balu kepada pengasas ajaran sesat Ayah Pin di kediamannya di Kampung Batu 13 di Hulu Besut hari ini. Foto Bernama
Muhammad Khalil (kiri) bersama Mazli (dua dari kiri) bertemu serta menyantuni balu kepada pengasas ajaran sesat Ayah Pin di kediamannya di Kampung Batu 13 di Hulu Besut hari ini. Foto Bernama

"Kita sentiasa buat pemantauan di penempatan ini dan dapat dijelaskan oleh penduduk bahawa kegiatan itu tidak dilakukan seperti yang diuar-uarkan... kita amat mengambil berat perkara ini dan melakukan pemantauan pada setiap masa,” katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya akan melakukan siasatan secara menyeluruh sebelum membuat keputusan sama ada akan memanggil pemilik akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ yang mendakwa berlaku penyebaran semula ajaran sesat Ayah Pin.

Mazli turut menasihati orang ramai supaya berhenti menggembar-gemburkan perkara itu kerana ia boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

"Saya juga minta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak yang berkenaan, jangan gunakan media sosial sehingga boleh menyebabkan kerisauan awam,” katanya.

Ditanya mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa ajaran itu mahu dihidupkan semula dan telah mula bertapak di Pekan serta Rompin, beliau berkata, pihaknya belum dapat mengenal pasti perkara tersebut.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook Imam Muda Kulan mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan tertentu sekitar Besut.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada 1997 mengeluarkan fatwa bahawa ajaran itu adalah sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin yang mempunyai 150 pengikut.

Ayah Pin meninggal dunia pada 22 April 2016 pada usia 74 tahun di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut akibat sakit tua. - Bernama