Suami didakwa bakar, giling jasad isteri dan anak

Suspek ditahan sejurus pihak berkuasa menemukan petunjuk. - Foto: Detik.com
Suspek ditahan sejurus pihak berkuasa menemukan petunjuk. - Foto: Detik.com
A
A
A

JAKARTA – Seorang lelaki di Madiun, Jawa Timur, Indonesia disyaki membunuh isteri sirinya, iaitu wanita yang dinikahi tanpa pendaftaran rasmi, serta anak lelaki wanita berkenaan sebelum membakar dan menggiling jasad kedua-dua mangsa bagi menghilangkan bukti jenayah.

Suspek, Dwi Bagus Martono, ditangkap polis pada Ahad selepas kehilangan Dini Hardiyanti, 30, dan anaknya, Arshaka Ghafa El Faezya, 4, dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Siasatan Jenayah Umum Polis Daerah Jawa Timur, Kombes Roy Hutton Marulamrata Sihombing, berkata siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada dendam dan cemburu.

Menurutnya, suspek didakwa membunuh Dini terlebih dahulu di sebuah bilik hotel di Kota Madiun sebelum melakukan perbuatan sama terhadap anak wanita tersebut.

“Daripada hasil siasatan yang diperoleh, pembunuhan itu dilakukan dengan sangat kejam. Pelaku terlebih dahulu membunuh isteri sirinya, Dini, di sebuah bilik hotel di Madiun sebelum membunuh anak mangsa,” katanya seperti dilaporkan DetikJatim.

Selepas membunuh kedua-dua mangsa, suspek dipercayai membawa mayat mereka ke kawasan belakang sebuah rumah sebelum membakarnya.

Roy berkata, mayat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam mesin penggilingan sebagai sebahagian daripada usaha menghilangkan bukti sebelum merancang membuang sisa mayat ke laut.

“Bagi menghilangkan jejak, mangsa dibakar di kawasan belakang rumah. Selepas itu, mayat dimasukkan ke dalam mesin penggilingan dan dirancang untuk dibuang ke laut,” katanya.

Kes tersebut terbongkar selepas keluarga mangsa membuat laporan kehilangan Dini dan anaknya yang berasal dari Bogor.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan DetikJatim, kehilangan kedua-dua mangsa pada mulanya disiasat sebagai kes orang hilang sebelum polis menemui beberapa kejanggalan sepanjang siasatan.

Suspek dilaporkan turut mengiringi keluarga mangsa ke balai polis untuk membuat laporan kehilangan, sekali gus menyebabkan keluarga pada awalnya menyangka kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

Bagaimanapun, siasatan lanjut polis menemukan petunjuk yang mengaitkan suspek dengan kehilangan wanita dan anaknya itu.

Suspek ditangkap di Jombang pada malam Ahad sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jawa Timur untuk siasatan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!