Stoking kalimah ALLAH: Shuib sedia lepas jawatan duta KK Mart

Shuib
Shuib
A
A
A

PELAWAK dan usahawan popular, Shuib tidak berkompromi dengan sebarang tindakan menghina agama Islam dan bersedia berundur daripada bekerjasama mana-mana pihak yang terlibat.

Ia termasuklah melepaskan gelarannya sebagai duta KK Super Mart seandainya kedai rangkaian serbaneka itu terbukti bersalah dalam kontroversi penjualan stoking tertera kalimah 'ALLAH'.

Selebriti berusia 39 tahun itu mengakui terkesan dengan apa yang berlaku dan bersetuju bahawa tindakan meletakkan kalimah ALLAH pada stoking merupakan penghinaan buat umat dan agama Islam.

"Kalau benar, saya tidak akan sokong, saya tidak akan mengiyakan langsung. Ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam.

"Perkara ini masih belum selesai dan siasatan sedang dilakukan, tetapi saya akan berdiri teguh sebagai umat Islam di mana apabila perkara yang tidak betul, salah, dan melanggar peraturan berlaku, saya tidak akan sokong,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Rabu.

Tambah pemilik nama sebenar Shahmira Muhammad itu, kecuaian hingga menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan institusi diraja (3R) tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana perniagaan dan sesebuah syarikat haruslah meningkatkan usaha bagi kawalan kualiti.

“Kita akan marah kerana isu membabitkan kalimah ALLAH sangat besar. Apa yang berlaku sangat keji,” tegasnya.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung kewujudan stokin memaparkan kalimah ALLAH yang dijual di kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Pengendali KK Super Mart kemudian memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Bagaimanapun penjualan stokin itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meluahkan rasa murka di atas insiden berkenaan.