Beri ruang polis siasat isu stoking kalimah

Mohd Izzat Afifi
Mohd Izzat Afifi
A
A
A

KUANTAN - Semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa menyiasat berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart).

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, segala siasatan perlu menyeluruh dan sangat penting untuk pihak berkuasa mengesan dalang serta dapat menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, mereka bertanggungjawab mencetuskan polemik ini sepatutnya dibawa ke muka pengadilan kerana telah menggugat sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Kita pandang serius perkara ini, jika ia gagal diselesaikan, dengan adil dan baik, (pasti) ia akan mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang melampau.

“Tindakan tanpa kompromi perlu dikenakan kepada pihak yang mempermainkan 3R (agama, bangsa atau raja)," katanya pada Khamis.

Mohd Izzat Afifi turut mengingatkan semua pihak supaya mengambil iktibar dan meletakkan isu sensitiviti agama di tahap yang tertinggi.

Beliau menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, selain penekanan agar isu ini tidak berulang lagi.

Ujar Mohd Izzat Afifi, dalam kemajmukan kaum dan agama di Malaysia, penting untuk setiap agama mempunyai batasan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Bagi umat Islam, penggunaan dan penghormatan terhadap kalimah Allah adalah suatu kewajipan yang tertinggi.

“Maka, kemurkaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi isyarat jelas bagaimana polemik isu kalimah ALLAH ini tidak boleh dipandang sebelah mata,” kata beliau lagi.