Pengisytiharan bencana di Papar disalah tafsir hingga cetus panik

Shahelmey Yahya
Shahelmey Yahya
A
A
A

PUTATAN - Pengisytiharan bencana seperti yang dilaksanakan di Papar adalah lebih kepada proses untuk urusan kerajaan namun telah disalah tafsir sehingga mencetuskan panik kepada masyarakat setempat.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, permohonan untuk pembenihan awan telah dilakukan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai prosedur bagi tujuan tersebut.

"Kita sudah buat permohonan melalui Nadma sebab itu dari segi prosedur kita mengaktifkan pengumuman bencana tetapi dalam masa sama kita tidak mahu pengumuman bencana yang sebenarnya lebih kepada proses untuk urusan kerajaan disalah tafsir menjadi bahan panik masyarakat seperti yang berlaku baru-baru ini apabila Jawatankuasa Daerah Papar mengumumkan bencana kemarau tular pengumuman tersebut sehingga mencetuskan panik.

"Rakyat tidak perlu panik lagi buat masa sekarang cuma apa yang kita perlu buat adalah berhemah dan menjaga penggunaan air yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas meninjau Bazar Ramadan Golden Centre di sini pada petang Rabu.

Mengulas lanjut mengenai usaha untuk mendapatkan aliran air hujan, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah memaklumkan pembenihan awan memang sudah diaktifkan namun memerlukan formasi awan yang sesuai.

"Ini untuk memastikan pembenihan awan itu akan berhasil jadi kita dimaklumkan formasi awan yang sesuai adalah menjelang hujung bulan ini dan awal April," katanya.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memaklumkan keadaan takungan air bagi kawasan Kota Kinabalu setakat ini dalam keadaan baik.

"Kalau di pantai barat, Kota Kinabalu kita dapat air dari loji Moyog dan Kasigui yang mana loji Moyog dapat bekalan air dari empangan Babagon.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini empangan Babagon kapasitinya tanpa hujan masih boleh bertahan sehingga 87 hari. Selain itu kita juga ada loji di Telibong yang mana takungan air dari sungai masih boleh bertahan lebih dua bulan, jadi sebab itu kita masih merasa yakin tetapi kita mesti sentiasa berdoa agar kemarau ini dapat diredakan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan terdapat paip utama di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon telah pecah pada Rabu namun kerja pembaikan telahpun dibuat.

"Ada satu paip utama telah bocor di LRA Kogopon yang menyebabkan kapasiti merawat air di loji itu terpaksa menurun dan kerja pembaikan sudah dilakukan.

"Kita mungkin memerlukan sedikit masa untuk menstabilkan bekalan air agar kapasiti 40 juta liter sehari dari Kogopon akan dapat terus dinikmati oleh penduduk sekitar Papar," katanya.