'Bawa stok banyak, tapi...' - Asmidar sebak gerai martabak ayah tak semeriah dulu

Asmidar cuba mencari jalan lain agar stok yang ada tidak terbuang begitu sahaja.
Asmidar cuba mencari jalan lain agar stok yang ada tidak terbuang begitu sahaja.
A
A
A

BILA sebut Ramadan, ramai terbayang juadah enak, bazar yang meriah dan deretan gerai yang tak putus dikunjungi.

Namun di sebalik kemeriahan itu, ada juga kisah peniaga yang perlu bermula semula mencari tapak, membina pelanggan dan menaruh harapan pada rezeki yang belum tentu.

Itulah realiti yang dilalui keluarga penyanyi Asmidar tahun ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di Instagram, pelantun lagu Biar Sampai Ke Bintang itu berkongsi situasi ayahnya yang tidak lagi berniaga di tapak lama di Wangsa Maju selepas hampir 40 tahun setia di situ.

“Hai semua, tahun ni ayah dah tak berniaga dekat Bazar Wangsa Maju macam selalu.

"Walaupun ayah adalah peniaga yang paling lama yang berniaga di Bazar Ramadan Wangsa Maju. Tapi tak ada rezeki kan.

"Kenalah berpindah ke tempat lain,” kongsinya jujur.

Tahun ini, ayahnya mendapat tapak di Saville Melawati. Namun suasananya tidak seperti yang diharapkan.

“Jadi, ayah dapat tempat niaga di Bazar Saville Melawati ni cuma itulah bukan tak ada orang, tak ramai orang. Lengang je,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Video yang dikongsikan jelas memperlihatkan gerai martabak dan kuih-muih keluarga mereka yang kurang dikunjungi pelanggan.

Stok martabak dibawa dalam jumlah banyak, namun jualannya perlahan. Sebagai anak, pastinya ada rasa yang sukar digambarkan.

“Kesian kan. Bawa stok banyak-banyak, pelanggan ada tapi tak ramai,” luahnya.

Tampil ringkas tanpa solekan tebal, juara program realiti Vokal... Bukan Sekadar Rupa itu dilihat setia menemani ibu dan ayahnya berniaga.

Tiada imej glamor, hanya seorang anak membantu keluarga demi kelangsungan rezeki.

Infak pembelian martabak

Dalam masa sama, Asmidar cuba mencari jalan lain agar stok yang ada tidak terbuang begitu sahaja.

Dia membuka peluang kepada orang ramai untuk berinfak melalui pembelian martabak.

“Yang nak membantu ayah saya, kalau korang nak berinfak bersama-sama martabak Mat Labu, minimum order lima keping martabak, RM30,” jelasnya.

Tambahnya lagi, tempahan infak untuk martabak ayam atau daging adalah minimum lima keping, manakala kuih-muih pula minimum 10 keping.

“Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Jemput berinfak atau berkunjung ke gerai kami. Selamat berpuasa,” ujarnya.

Bagi memastikan tiada salah faham, Asmidar turut memaklumkan bahawa mereka akan merakam dan menghantar video kepada pemberi infak sebagai bukti amanah tersebut telah dilaksanakan.

Walaupun sedih melihat jualan tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya, dia tetap percaya setiap rezeki sudah diatur sebaiknya.

Kisah ini bukan sekadar tentang gerai yang lengang, tetapi tentang ketabahan peniaga lama yang perlu bermula semula dan tentang seorang anak yang tidak pernah malu berdiri di sisi ibu bapanya.

Semoga usaha keluarga Asmidar dipermudahkan dan gerai mereka terus mendapat sokongan.

Kadang-kadang, di sebalik gerai yang sunyi, tersimpan doa dan harapan yang lebih besar daripada yang kita sangka. - Sinarplus 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!