Stoking kalimah ALLAH: Pengasas KK Mart antara 8 dirakam keterangan

Stoking tular tertera kalimah ALLAH.
Stoking tular tertera kalimah ALLAH.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan lapan individu termasuk Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), Datuk Seri Dr KK Chai bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam kenyataan memaklumkan, keterangan kesemua individu berkenaan diambil kira-kira jam 12.30 tengah hari, Selasa.

"Sebanyak 80 laporan polis diterima berhubung isu itu di seluruh negara setakat jam 12 tengah hari ini (Rabu).

“Siasatan masih di peringkat awal dan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan mengenal pasti proses perolehan dan lain-lain yang bersangkutan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku yang terlibat," katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan dilakukan secara menyeluruh ke atas fakta isu kes penjualan stoking tertulis kalimah ALLAH di kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

"Siasatan dijalankan secara menyeluruh meliputi semua aspek sebelum dapatan akhir dimuktamadkan.

“Siasatan awal setakat ini mendapati vendor terlibat beroperasi di Batu Pahat, Johor,” jelasnya.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Pada Isnin, media melaporkan polis membuka dua kertas siasatan terhadap laporan berhubung isu itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar atau perkhidmatan.

Sabtu lalu, Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dan meminta maaf berhubung penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah ALLAH.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28