Kondominium jadi stor dadah bernilai RM14.18 juta diserbu

Khaw Kok Chin (dua kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah.
Khaw Kok Chin (dua kiri) menunjukkan hasil rampasan dadah.
A
A
A

KAJANG - Sindiket pengedaran dadah yang menjadikan kondominium mewah sebagai stor terbongkar selepas diserbu polis di sini, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 44 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM14.15 juta.

"Peranan dia individu itu adalah penjaga stor dan 'transporter', sindiket itu dipercayai mula aktif sejak tahun lalu.

"Modus operandi sindiket itu adalah menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan dengan menggunakan sebuah kereta untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini, pada Khamis.

Kok Chin berkata, sindiket tersebut turut menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah ke negara jiran.

Khaw Kok Chin
Khaw Kok Chin

"Dalam serbuan itu, kita merampas dadah syabu seberat 333.443 kilogram (kg), serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (6.07 kg), pil erimin 5 (8.1 kg) dan pil ekstasi (15.7 kg)," katanya.

Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.8 juta penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ia merupakan rampasan terbesar yang berjaya dilakukan pihak polis, setakat ini," katanya.

Kok Chin berkata, saringan awal pihak polis mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Semakan rekod jenayah mendapati seorang suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan dadah," katanya.

Beliau berkata, tindakan juga diambil dibawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana JSJN telah menyita sebuah kenderaan yang digunakan sindiket yang dianggarkan bernilai RM38,000.

"Kedua-dua suspek direman enam hari bermula semalam (Rabu) hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Kok Chin berkata, JSJN meneruskan siasatan untuk mengesan rangkaian khususnya dalang sindiket yang masih bebas untuk dibawa ke muka pengadilan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28