Kastam rampas dadah bernilai RM15.6 juta

Sazali menunjukkan rampasan barangan dadah semasa sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan pada Jumaat. - Foto Bernama
Sazali menunjukkan rampasan barangan dadah semasa sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas ketamin seberat 260 kilogram (kg) bernilai RM15.6 juta pada 21 November lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota telah menyita lima tong berwarna biru ditinggalkan di penghujung jalan di kawasan perumahan di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 3.50 petang.

"Berdasarkan jumlah berat dadah diperolehi, dianggarkan seramai 1.3 juta individu dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.

Kastam sedang mengesan suspek utama kes pengedaran dadah, S Selvaraj dan T Thangarajh.
Kastam sedang mengesan suspek utama kes pengedaran dadah, S Selvaraj dan T Thangarajh.

"JKDM sedang mengesan dua lelaki tempatan iaitu suspek utama kes tersebut, T Thangarajh berusia 30 tahun dan S Selvaraj berusia 36 tahun," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dua suspek itu tiada rekod jenayah serta bukan keldai dadah dan alamat terakhir mereka masing-masing di Kuala Lumpur iaitu di rumah pangsa 610, Pandan Indah 5/20 dan di Taman Esplanad, Bukit Jalil.

Kes disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Sazali berkata, berdasarkan label nombor rujukan pada tong itu mendapati dagangan dibawa masuk menggunakan laluan udara dari Lapangan Terbang Ahmedabad, Gujarat, India dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), serta diikrarkan sebagai bahan kimia tidak tertakluk kepada keperluan permit import daripada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, barangan itu dipercayai dihantar oleh ejen penghantaran menggunakan lori dan hasil penjejakan pasukan JKDM mendapati ia dihantar ke kawasan perumahan tersebut dan diletakkan di penghujung jalan.

Sazali - Foto Bernama
Sazali - Foto Bernama

Dalam pada itu, menurut Sazali, JKDM turut merampas dadah jenis methamphetamine seberat 12 kg bernilai RM400,000 dalam sebuah beg di tempat duduk belakang kereta Toyota Camry, di lot parkir sebuah restoran makanan segera di Sijangkang, Selangor, 6.30 petang, 8 November lepas.

Beliau berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun dan suspek telah dituduh di mahkamah pada 22 November lepas di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Maklumat (diperoleh) mengesahkan dadah tersebut akan dibawa ke negara jiran menggunakan laluan laut melalui Port Dickson,” katanya. - Bernama