399 laporan polis kes tipu umrah RM14.2 juta

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 399 laporan berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat babit kerugian bernilai RM14.2 juta sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik direkodkan setakat 27 November itu melibatkan 1,614 jemaah umrah.

Menurutnya, mengikut pecahan, Kuala Lumpur terdapat 56 laporan, Selangor (88), Perak (19), Pulau Pinang (16), Kedah (18), Kelantan (34) dan Terengganu (40).

"Selebihnya ialah Pahang (17), Negeri Sembilan (17), Melaka (24), Johor (35), Sabah (23), Sarawak (11) dan Perlis (1).

"Berdasarkan laporan yang diterima ini, 229 laporan telah dirujuk ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tribunal Tuntutan Pengguna selain lima kes dirujuk ke majistret untuk tindakan sivil, manakala selebihnya dalam tindakan pihak polis," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Rabu.

Beliau berkata, JSJK telah merakam keterangan pengarah syarikat iaitu sepasang suami isteri berusia lingkungan 40-an.

Katanya, berdasarkan modus operandi yang dikesan, syarikat dipercayai menggunakan medium Facebook selain ejen untuk mempromosikan khidmat umrah dengan harga kira-kira lingkungan RM5,000 hingga RM11,000 dan pembayaran dibuat mangsa ke satu akaun bank tempatan.

"Semakan mendapati syarikat yang memiliki sembilan cawangan di beberapa negeri ini ditubuhkan pada 2015 dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan termasuklah pelancongan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak MOTAC di bawah Seksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), syarikat ini telah dijatuhkan hukuman penggantungan lesen perniagaan umrah mulai 10 Julai 2023 sehingga 9 Januari 2024 atas kesalahan menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan dan ekonomi negara.

"Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga telah menyenaraihitamkan syarikat ini dan kedua-dua pengarahnya pada 5 Oktober 2023 di bawah Sekatan Pentadbiran (Fungsi Suruhanjaya) di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001," ujarnya.

Kata Ramli, berdasarkan makluman dari MOTAC pada awal tahun 2023, kerajaan Arab Saudi telah menaikkan kos pengurusan umrah dan haji di negara tersebut meliputi harga penginapan, pengangkutan dan makan minum

"Hal ini menjadikan kos pakej yang ditawarkan oleh syarikat ini tidak lagi relevan.

"Pihak syarikat telah mengadakan rundingan dengan jemaah yang tidak dapat diterbangkan dan memberikan dua pilihan iaitu yang pertama, terus menunggu giliran atau pun yang kedua, mendapat pulangan semula wang yang telah dibayar.

"Bagaimanapun, dikatakan syarikat ini gagal untuk mengotakan janji bagi kedua-dua pilihan yang mereka berikan dan siasatan terhadap syarikat ini sedang dijalankan," katanya.