Lepas efluen tanpa rawatan, JAS tahan operasi kilang sarung tangan

Pengawai JAS Kedah mengambil sampel efluen berwarna biru yang dilepaskan di sistem perparitan di kawasan Mergong Barrage.
Pengawai JAS Kedah mengambil sampel efluen berwarna biru yang dilepaskan di sistem perparitan di kawasan Mergong Barrage.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah di kawasan Mergong Barrage di sini, yang didapati melepaskan efluen berwarna biru tanpa rawatan ke dalam sistem perparitan awam dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang terbabit dikenakan tindakan selepas rondaan rutin dijalankan pada jam 5 petang Khamis.

Menurutnya, hasil rondaan menemui aliran efluen berwarna biru dalam sistem perparitan awam dan pegawai penyiasat kemudiannya telah menyusuri perparitan awam hingga menemui punca pelepasan.

"JAS mendapati sebuah premis pembuatan telah melepaskan efluen berwarna biru secara terus ke longkang awam tanpa rawatan.

"Jarak longkang yang tercemar adalah sepanjang kira-kira 70 meter (m)," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Sharifah Zakiah berkata, beberapa persampelan telah diadakan dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa.

Tambah beliau, hasil intipan dan siasatan lanjut pada Jumaat dan Sabtu mengesahkan bahawa efluen berwarna biru yang berpunca daripada penggunaan pigmen biru dalam proses dilepaskan secara terus tanpa dirawat dari tempat basuhan peralatan.

"Susulan itu, premis telah diarahkan untuk menghentikan serta-merta punca pencemaran dan telah dikenakan tindakan POK," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan, peralatan basuhan telah disita dan rakaman percakapan dengan pihak premis juga telah dibuat di premis tersebut.

"Selain itu, beberapa persampelan juga telah diambil," katanya.

Tegas beliau, pelepasan efluen secara terus tanpa dirawat daripada premis adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Katanya lagi, satu notis arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 juga dikeluarkan untuk premis mengemukakan langkah-langkah pembaikan.

"Premis juga boleh dikenakan kompaun di bawah Peraturan 5, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 atas kegagalan menyediakan sistem pengolahan efluen perindustrian," katanya.

Ujar beliau, pemeriksaan ulangan akan dibuat bagi verifikasi tindakan pembetulan yang diambil sebelum premis boleh beroperasi semula.

Sharifah Zakiah berkata, JAS menyeru pihak industri untuk lebih peka akan kehendak perundangan dan boleh merujuk pihak Jabatan Alam Sekitar sekiranya memerlukan nasihat.

Orang awam juga boleh menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan http:eaduan.gov.my.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28