X

Kindly register in order to view this article
!

Niaga hadapan emas dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Gambar hiasan
A
A

KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan ketika pasaran pulih daripada kesan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, meskipun serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Iran baru-baru ini, minat risiko berjaya pulih dengan dolar AS-yen Jepun meningkat lebih 1.3 peratus setakat ini bagi minggu ini, namun emas susut daripada peningkatannya baru-baru ini dan diniagakan di bawah paras psikologi AS$1550.

“Para pelabur mendapat rangsangan daripada petanda bahawa AS dan Iran berundur daripada ambang peperangan. Konflik di Timur Tengah adalah peringatan terbaharu bagi para pelabur untuk terus berjaga-jaga dengan risiko geopolitik.

“Belum dapat dipastikan sama ada tindakan ini hanya sekadar sementara daripada kitaran tindak balas antara AS dan Iran. Risiko seumpama itu mungkin perlu diambil kira ke dalam strategi peruntukan aset pelabur,” katanya.

Jumaat lepas, Washington melancarkan serangan udara berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad yang mengorbankan komander tentera tertinggi Iran, Qasem Soleimani.

Susulan serangan itu, Iran membalas dengan beberapa serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Iraq pada Selasa.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kontrak bulan semerta Januari 2020 naik 58 mata kepada RM203.40 segram, Februari 2020 meningkat 44 mata kepada RM203.40 segram, Mac 2020 menokok 22 mata kepada RM202.70 segram dan April 2020 menambah 42 mata kepada RM204.80 segram.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 22 lot bernilai RM454,920 berbanding lapan lot bernilai RM160,490 pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 136 kontrak daripada 134 kontrak sebelumnya. - Bernama