SkyWorld bakal ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Gambar kecil: Ng Thien Phing
Gambar kecil: Ng Thien Phing
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju perbandaran terkemuka, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) yang terlibat dalam pegangan pelaburan menerima persetujuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

SkyWorld dalam satu kenyataan berkata, bersempena dengan penyenaraian itu, tawaran awam permulaan (IPO) SkyWorld melibatkan terbitan awam adalah sebanyak 208 juta saham baharu yang mewakili kira-kira 20.8 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesar semasa penyenaraian.

Menurutnya, daripada 208 juta saham itu, 50 juta akan disediakan untuk permohonan rakyat Malaysia manakala 25 juta saham diperuntukkan bagi permohonan oleh pengarah berkelayakan, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

"Baki 133 juta saham baharu akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih," katanya.

Tambah kenyataan itu, IPO terbabit turut menyaksikan tawaran untuk penjualan 192 juta saham sedia ada, bersamaan dengan kira-kira 19.2 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kumpulan.

Sementara itu, 150 juta saham sedia ada akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) manakala baki 42 juta saham sedia ada telah diperuntukkan untuk institusi dan pelabur terpilih.

Pengasas dan Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, kelulusan itu merupakan peristiwa dan kejayaan penting bagi syarikat itu serta keyakinan kukuh terhadap trajektori pertumbuhannya.

"Sementara perjalanan ke arah penyenaraian masih berjalan, kami kekal fokus pada perniagaan sambil berusaha untuk menyampaikan perkembangan berterusan kami menuju standard yang lebih tinggi," katanya pada Isnin.

Kenanga Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO.