Nestlé Malaysia, BSMM sedia 7,000 pek bantuan banjir hadapi monsun
![(Tiga dari kiri) Pengerusi Kebangsaan BSMM, YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols (tiga dari kanan) bersama-sama [dari kanan] Pengarah Eksekutif, Undang-undang & Kesetiausahaan, Nestlé Malaysia, Tengku Ida Adura Tengku Ismail serta Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Nestlé Malaysia & Singapura, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi, di samping Setiausaha Agung BSMM, Dato’ Danial Iskandar Abdul Rahman dan Pengerusi BSMM Negeri Sembilan, Lee Shy Jing bagi menandakan sumbangan Nestlé Malaysia berjumlah RM1.8 juta dalam bentuk produk dan bantuan kewangan bagi menyokong keseluruhan inisiatif bantuan banjir sempena musim monsun 2026](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/11/04/3699186.webp)
NESTLE Malaysia memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim monsun menerusi Inisiatif Bantuan Banjir Seluruh Negara 2026 dengan menyediakan 7,000 pek bantuan makanan berkhasiat untuk diagihkan kepada keluarga di kawasan berisiko banjir di empat negeri.
Menerusi kerjasama tahun keempat berturut-turut dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), bantuan berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 7,000 keluarga di Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir susulan musim monsun.
Selain itu, persiapan turut digerakkan di Sabah menerusi penglibatan 40 sukarelawan daripada operasi Nestlé di Sabah, Harrisons Sabah dan BSMM Sabah yang berganding tenaga menyediakan 1,000 beg bantuan banjir untuk disalurkan kepada komuniti yang memerlukan di negeri itu.
Sejak kerjasama dimulakan pada 2023, lebih 30,000 keluarga terjejas banjir menerima manfaat menerusi inisiatif berkenaan, selain memperkukuh keupayaan BSMM melaksanakan tindak balas kecemasan termasuk melalui pembiayaan perolehan kelengkapan seperti unit ambulans terbaharunya.
Sumbangan Nestlé Malaysia bagi usaha bantuan tahun ini, merangkumi produk dan sokongan kewangan, dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, kesiapsiagaan awal penting bagi memastikan bekalan makanan dan minuman dapat disalurkan segera kepada komuniti yang terjejas apabila bencana berlaku.
“Apabila masyarakat berdepan ancaman banjir, kesiapsiagaan mampu membawa perbezaan yang besar. Keutamaan kami adalah untuk memastikan bekalan makanan dan minuman yang diperlukan tersedia, dibungkus dan sedia disalurkan dengan segera kepada komuniti terjejas apabila diperlukan.
“Kerjasama erat dengan Bulan Sabit Merah Malaysia membolehkan kami mengubah persediaan tersebut menjadi tindakan bermakna, dengan memanfaatkan keupayaan bantuan kemanusiaan dan pengalaman mereka di lokasi.
“Saya amat menghargai komitmen kakitangan kami dan semua sukarelawan yang telah berganding bahu menyediakan 7,000 pek bantuan makanan berkhasiat ini untuk komuniti di seluruh Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan BSMM, YTM Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, persediaan awal dengan memastikan bekalan keperluan asas tersedia dan ditempatkan lebih awal membolehkan bantuan kemanusiaan digerakkan dengan lebih berkesan apabila diperlukan.
Menurutnya, usaha menangani bencana banjir bermula jauh sebelum air mula naik. Persediaan awal dengan memastikan bekalan keperluan asas tersedia dan ditempatkan lebih awal membolehkan bantuan kemanusiaan digerakkan dengan lebih berkesan apabila diperlukan oleh komuniti yang terjejas.
“Kerjasama berterusan kami dengan Nestlé Malaysia memperkukuh tahap kesiapsiagaan ini dengan menggabungkan komitmen para sukarelawan dan jaringan bantuan kemanusiaan BSMM.
“Usaha tambahan menyediakan beg bantuan di Sabah pada tahun ini turut memperkukuh keupayaan kami untuk menyalurkan bantuan kepada komuniti di negeri itu apabila diperlukan,” katanya.
Aktiviti pembungkusan bantuan di Kuala Lumpur menghimpunkan kakitangan Nestlé Malaysia dan sukarelawan BSMM bersama wakil Universiti Malaya, Universiti Malaya-Wales dan Yayasan Wakaf.
Kotak bantuan pemakanan yang disediakan mengandungi pelbagai produk keperluan asas Nestlé termasuk MILO, MAGGI, NESCAFÉ, Bijirin Sarapan NESTLÉ Cereals, NESTUM, LACTOGROW dan EVERYDAY.
Aktiviti itu turut dihadiri Tunku Puteri Intan Safinaz manakala Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi di bawahnya turut menjadi rakan kerjasama bagi menyokong usaha bantuan banjir tahun ini.
Inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada program Nestlé Sayang Komuniti yang menggerakkan warga kerja syarikat itu untuk menyumbang kepada usaha kemasyarakatan dan kemanusiaan di seluruh negara.
Ia turut melengkapi kerjasama terbaharu Nestlé Malaysia dengan Yayasan Food Bank Malaysia menerusi penyediaan 800 pek bantuan makanan dan pemakanan kepada keluarga di kawasan pedalaman Tumpat dan Jeli, Kelantan sebagai persediaan menghadapi musim monsun.
Secara keseluruhan, seramai 400 warga kerja Nestlé Malaysia berganding bahu menjayakan usaha bantuan tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
