Segmen pengagihan dana wakaf perlu dipergiatkan

Mohd Na'im (dua dari kiri) ketika majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin
Mohd Na'im (dua dari kiri) ketika majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Segmen pengagihan dana wakaf perlu dipergiatkan bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh masyarakat secara keseluruhan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, penentuan segmen itu hendaklah mengambil kira pendapatan mengikut kumpulan isi rumah yang ditetapkan.

Katanya, perkara tersebut termasuk dalam empat garis tindakan yang perlu dilaksanakan segera oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

"Selain itu, Jawhar dan yayasan berkenaan juga perlu meneroka konsep Wakaf Bertempoh atau Wakaf Muaqqat sebagai sumber dana alternatif bagi membangunkan tanah-tanah wakaf di seluruh negara dengan penglibatan syarikat korporat, dana luar negara, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan individu.

"Usaha pembangunan perlu memberi fokus kepada projek yang berimpak tinggi, berdaya maju dan mapan untuk meningkatkan nilai aset wakaf di seluruh negara," jelasnya ketika berucap pada majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Ketua Pengarah Jawhar, Datuk Selamat Paigo.

Mohd Na'im berucap pada majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohd Na'im berucap pada majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Menurut Mohd Na'im, usaha penerokaan itu meliputi sektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, sekuriti makanan dan pembangunan ekonomi serta komuniti.

Artikel Berkaitan:

"Garis tindakan ketiga adalah kedua-dua institusi itu perlu menggembeleng tenaga bersama Majlis Agama Islam Negeri agar usaha-usaha melonjakkan potensi wakaf dapat direalisasikan pada tahun 2030.

"Antaranya menerusi penambahbaikan dan pelaksanaan transformasi dalam institusi berkaitan wakaf, pemerkasaan perundangan wakaf, penambahan sumber pendanaan dan pembiayaan wakaf serta peningkatan kesedaran dan pembudayaan wakaf," ujarnya.

Tambah beliau, Majlis Agama Islam Negeri bersama-sama dengan penglibatan syarikat-syarikat korporat perlu melaksanakan Wakaf Produktif atau Wakaf Ekonomi yang akan diaplikasikan sama ada di atas hartanah wakaf sedia ada bagi mengoptimumkan penggunaan tanah wakaf tersebut atau mewujudkan aset wakaf baharu melalui kaedah Sijil Wakaf.

"Konsep ini tidak hanya tertumpu kepada bangunan semata-mata, tetapi turut merangkumi projek pertanian, perladangan dan lain-lain yang bersesuaian serta mampu membantu pembangunan ekonomi negara.

"Di bawah konsep ini juga, sumber dana daripada wakaf tunai untuk tujuan menjalankan perniagaan boleh diwujudkan. Penyaluran dana kepada usahawan yang berpotensi mampu memberikan impak dalam bentuk kemapanan perniagaan, peningkatan pendapatan dan penyediaan peluang pekerjaan," katanya.

Mohd Na'im (kanan) ketika merasmikan majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohd Na'im (kanan) ketika merasmikan majlis peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan terkumpul wakaf tunai yang dicatatkan Yayasan Waqaf Malaysia sudah meningkat sebanyak 54 peratus kepada RM39,550,462.18 pada 31 Disember lalu berbanding RM25,679,125.87 yang direkod pada 31 Disember 2021.

"Dari segi agihan pula, sejumlah RM24,694,257.45 bersamaan hampir 60 peratus sudah dibelanjakan sehingga 31 Disember 2023.

"Sebagai contoh, menerusi produk Wakaf Air bagi tujuan menyalurkan bekalan air bersih kepada masyarakat, sejumlah RM3.5 juta diagihkan untuk pelaksanaan 75 projek di seluruh negara, melibatkan 7,734 buah rumah yang sudah memberi manfaat kepada 40,008 penduduk," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!