Skim Smart Sewa: Shah Alam antara lokasi tumpuan, permintaan tinggi

Deretan 28 unit RSKU yang disediakan untuk program Skim Smart Sewa.
Deretan 28 unit RSKU yang disediakan untuk program Skim Smart Sewa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Shah Alam merupakan antara lokasi tumpuan bagi penyediaan Skim Smart Sewa yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai khususnya pasangan baharu berkahwin.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, program diperkenalkan sejak 2016 itu bagi membantu rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) untuk menyewa rumah dalam kadar berpatutan.

Menurutnya, bagi Shah Alam, sebanyak 200 unit disediakan di Setia Alam di bawah program tersebut dan berbaki 15 unit lagi yang masih kosong.

"Shah Alam antara lokasi yang mendapat permintaan tinggi.

"Disebabkan itu, Shah Alam menjadi antara lokasi yang akan dijadikan penumpuan.

"Banyak lagi projek-projek perumahan di Shah Alam yang boleh dijadikan Smart Sewa.

"Selain Shah Alam, beberapa lokasi lain turut dalam perhatian bagi tujuan tersebut termasuk Hulu Langat, Selayang dan Ampang," katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Selangorku (RSKU) Selindung Daun Ulu Yam di sini pada Ahad.

Sebanyak 28 unit RSKU jenis B dibeli Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) membabitkan peruntukan RM2.8 juta untuk program Skim Smart Sewa.

Artikel Berkaitan:

Borhan (dua dari kanan) menyempurnakan acara potong riben sempena Majlis Penyerahan Kunci Projek RSKU Selindung Daun Ulu Yam di Hulu Selangor pada Ahad.
Borhan (dua dari kanan) menyempurnakan acara potong riben sempena Majlis Penyerahan Kunci Projek RSKU Selindung Daun Ulu Yam di Hulu Selangor pada Ahad.

Keutamaan skim itu diberikan kepada mereka yang belum memiliki rumah atau menghadapi kesukaran mendapat pembiayaan pinjaman perumahan.

Had tempoh sewaan antara dua hingga lima tahun dan sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan akan dipulangkan kepada penyewa untuk deposit pembelian kediaman baharu.

Borhan berkata, menerusi Bajet 2023, kerajaan negeri telah bersetuju menggunakan peruntukan sebanyak RM115 juta bagi pembelian 500 unit tambahan dan menyasarkan penyediaan sehingga 3,000 unit Skim Smart Sewa menjelang 2025.

"Sehingga Mac 2024, status pembelian unit diluluskan untuk ditawarkan kepada orang awam bagi tujuan penyewaan adalah sebanyak 1,377 unit dengan 852 unit telah disewakan.

"Bagi merealisasikan sasaran 3,000 unit, cadangan pembelian Skim Smart Sewa akan diteruskan pada 2024 dengan sasaran sebanyak 810 unit melalui peruntukan tambahan RM220 juta," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!