Sabah pantau gerakan dakwah Mawla Amin

Mohd Arifin (dua dari kiri) ketika menyampaikan sijil kepada peserta Simposium Antarabangsa Turath Sabah di Kota Kinabalu.
Mohd Arifin (dua dari kiri) ketika menyampaikan sijil kepada peserta Simposium Antarabangsa Turath Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan memantau sebarang gerakan dakwah melibatkan individu dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau nama sebenar Muhammad Mohamed Amin Ouradji di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Mohd Arifin Datuk Mohd Arif berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung individu tersebut di Sabah.

"Setakat yang saya difahamkan dan dimaklumkan, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan pihak kefatwaan, kita tidak memberi apa-apa tauliah kepada individu berkenaan.

"Namun saya dari masa ke masa sentiasa meminta dan berbincang dengan pejabat mufti khususnya bersama mufti sendiri dan Yang Dipertua Muis berhubung siapa saja yang datang ke Sabah untuk berdakwah atau mengajar agama mesti mendapat tauliah yang kita salurkan melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Turath Sabah, di sini pada Khamis.

Sebelum itu, Mohd Arifin diminta mengulas jika kerajaan negeri ada menerima sebarang laporan berhubung individu yang mendakwa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW yang akan membuat siri jelajahnya di negara ini.

Ditanya lanjut tindakan daripada kerajaan negeri jika wujud gerakan itu di negeri ini, beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

"Kita akan bawa perkara berkenaan ke JHEAINS sebab mereka ada bidang penyiasatan dan penguatkuasaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!