AG fail rayuan pembebasan Isa Samad

Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Isa (depan) daripada 9 pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak. Foto Bernama
Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Isa (depan) daripada 9 pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan di sini, berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengesahkan permohonan dibuat pada Khamis.

“Ya, kami sudah fail,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Pada Rabu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah sebulat suara melepaskan dan dibebaskan Isa daripada pertuduhan berkenaan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Vazeer Alam berkata, dapatan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bayaran telah dibuat kepada Isa (selaku perayu) melalui dua saksi, namun ia tidak disokong dengan bukti boleh dipercayai.

Dua individu itu ialah saksi pendakwaan ke-21 (SP21), (ketika itu) pegawai khas politik Isa, Muhammad Zahid Md Arip dan SP16, bekas Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Selain itu, beliau berkata, tiada bukti menunjukkan kod ‘salam’ antara Isa dan SP21 menunjukkan kaitan rasuah.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.