Projek naik taraf, pulihara Mahkamah Tinggi Pulau Pinang siap Julai ini

Ahmad (tiga dari kanan) meninjau projek naik taraf dan pemuliharaan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam lawatannya pada Khamis.
Ahmad (tiga dari kanan) meninjau projek naik taraf dan pemuliharaan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dalam lawatannya pada Khamis.
A
A
A

GEORGE TOWN - Projek menaiktaraf dan pemuliharaan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang berusia 123 tahun dijangka siap pada 13 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemajuan projek telah mencapai kemajuan fizikal sebenar sebanyak 82 peratus berbanding kemajuan jadual iaitu 71 peratus.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan secara perundingan konvensional dengan kos kontrak asal sebanyak RM17.9 juta.

Projek menaiktaraf dan pemuliharaan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dijangka siap pada Julai ini.
Projek menaiktaraf dan pemuliharaan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dijangka siap pada Julai ini.

"Kerja-kerja telah bermula pada 1 Disember 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini. Bagaimanapun ia diberi dua kali lanjutan tempoh berikutan penyebaran wabak Covid-19.

"Semua kerja pembaikan bangunan ini perlu merujuk kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005 dengan kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara.

"Setelah siap, projek ini akan dapat mengembalikan fungsi bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang serta memenuhi komitmen kerajaan terhadap keselesaan dan kesejahteraan pengguna di samping mengekalkan keaslian serta kemasan binaan sebanyak mungkin," katanya.

Belaiu berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Projek Menaiktaraf dan Pemuliharaan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang merupakan salah satu faktor utama dalam pengiktirafan George Town sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

"Mahkamah yang dibina seawal tahun 1883 ini dilindungi di bawah Akta Bendapurba 1976 dan kini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Warisan Negara di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

"Sejajar dengan usianya, bangunan warisan ini dilaporkan mengalami beberapa masalah termasuk kebocoran bumbung, kesan anai-anai, kelembapan dan tumbuhan kulat serta tompokan air yang terdapat di beberapa bahagian.

"Justeru, proses menaik taraf dan pemuliharaan yang sedang dilaksanakan akan mengekalkan keaslian binaan sebanyak mungkin, membaik pulih bagi memastikan keselamatan pengguna dan menambah beberapa fasiliti yang diperlukan bagi menjamin kemampan keperluan di masa hadapan," tambahnya lagi.

Ahmad menambah, antara cabaran dalam projek menaiktaraf dan pemuliharaan itu adalah perlu mengekalkan struktur binaan asal selain mematuhi Akta Warisan Kebangsaan 2005.

"Selain itu, pekerja projek perlu menjalankan kerja pemulihan dan menaiktaraf dengan tidak terlalu bising kerana bangunan mahkamah di sebelah masih menjalankan prosiding mahkamah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!