Ramadan: Pulau Pinang tidak hadkan waktu operasi peniaga Islam

Mohamad (tengah) melancarkan Kempen Respek Ramadan dan Program Operasi Bersepadu Bulan Ramadan 2024 di Masjid Kampung Rawa pada Jumaat.
Mohamad (tengah) melancarkan Kempen Respek Ramadan dan Program Operasi Bersepadu Bulan Ramadan 2024 di Masjid Kampung Rawa pada Jumaat.
A
A
A
GEORGE TOWN - Pulau Pinang tidak mengehadkan waktu operasi perniagaan makanan bagi peniaga yang beragama Islam pada bulan Ramadan ini.

Bagaimanapun, orang Islam dibenarkan membeli makanan namun tidak dibenarkan makan di premis secara terbuka.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, tiada halangan untuk peniaga makanan Muslim untuk membuka perniagaan mereka pada waktu pagi atau tengah hari.

"Di Pulau Pinang, kita tidak hadkan dari segi operasi untuk peniaga (Islam) untuk menjual makanan. Mereka boleh berniaga dari pagi. Bagaimanapun, dari sudut 'respek' Ramadan ini, orang awam tidak dibenarkan makan di khalayak ramai walaupun tergolong dalam uzur syarie.

"Sebab itu kita lancarkan program ini kerana kita faham, akan ada uzur syarie. Maknanya dia beli, bawa balik dan makan di rumah.

"Walaupun seseorang itu tergolong dalam uzur syarie, dia tak boleh makan di khalayak ramai, itu pun boleh kena tangkap sebab tidak menghormati bulan Ramadan," katanya.

Mohamad berkata demikian selepas melancarkan Kempen Respek Ramadan dan Program Operasi Bersepadu Bulan Ramadan 2024 di Masjid Kampung Rawa di sini pada Jumaat.

Tambah Mohamad, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan mengambil tindakan sekiranya menerima laporan berhubung premis yang menjalankan perniagaan dalam keadaan mencurigakan.

"Jika JHEAIPP menerima aduan awam ada perniagaan yang membuka pintu belakang atau membuka pintu premis separuh sahaja, mereka akan bertindak atau serbu kerana tindakan pemilik premis itu mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan Ramadan kepada wakil asnaf di Masjid Kampung Rawa.
Mohamad (dua dari kiri) menyampaikan bantuan Ramadan kepada wakil asnaf di Masjid Kampung Rawa.

"Bagaimanapun, sekiranya pemilik premis buka premis seperti biasa, berniaga seperti biasa tanpa ada pelanggan yang beragama Islam makan di dalam kedai secara terbuka, ia bukan menjadi satu kesalahan.

"Memang pelik jika buka kedai pada jam 9 pagi tetapi dari segi penguatkuasaan operasi jualan, ia bukan satu kesalahan. Masing-masing kena 'respek' Ramadan," katanya.

Ujar beliau, anggota penguat kuasa JHEAIPP akan memulakan operasi pemantauan setiap hari daripada 1 Ramadan sehingga berakhirnya bulan puasa.

"Di bawah pentadbiran agama, kita ada enam daerah yang mana, di Seberang Perai Utara, kita pecahkan dua iaitu Butterworth dan Kepala Batas.

"Pegawai-pegawai penguat kuasa akan ada di setiap daerah untuk membuat pemantauan dari pagi sampai petang setiap hari. Mereka juga akan menjalankan serbuan jika menerima laporan," katanya.

Mohamad berkata lagi, pada tahun 2021, jumlah operasi yang telah dilaksanakan adalah 37 kali dan notis yang dikeluarkan sebanyak 56 notis.

"Pada tahun 2022 pula, jumlah operasi yang dilaksanakan sebanyak 40 kali manakala jumlah notis yang dikeluarkan 91 notis.

"Sementara bagi tahun 2023, jumlah operasi yang dilaksanakan adalah sebanyak 27 kali dengan 59 notis dikeluarkan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!