Kelantan hadapi kesukaran tarik pelabur asing

Perkara itu dikenal pasti oleh pihak kerajaan negeri daripada maklum balas yang diterima daripada pihak pelabur asing. Gambar fail
Perkara itu dikenal pasti oleh pihak kerajaan negeri daripada maklum balas yang diterima daripada pihak pelabur asing. Gambar fail
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan berdepan halangan utama dalam usaha menarik pelabur asing ke negeri ini berikutan tidak mempunyai pelabuhan dan jaringan perhubungan yang belum sempurna.

Exco Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, perkara itu dikenal pasti oleh pihak kerajaan negeri daripada maklum balas yang diterima daripada pihak pelabur asing.

“Kami mendapati pelabur-pelabur lebih berminat dan memilih untuk melabur di kawasan yang berhampiran atau mempunyai pelabuhan supaya memudahkan urusan perdagangan serta barangan untuk dibawa masuk ke negeri ini.

Md Anizam
Md Anizam

“Selainnya, jaringan perhubungan yang belum sempurna seperti Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama, Lebuh Raya Kuala Krai dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut menjadi halangan untuk kita menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Syahuddin Hashim (Galas-Barisan Nasional) pada pada persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.

Md Anizam berkata, kekangan lain dihadapi oleh kerajaan negeri itu dalam menarik pelaburan ke negeri ini termasuk isu tapak projek dan tanah.

Katanya, bagaimanapun pihaknya menubuhkan jawatankuasa teknikal dan pelaksana bagi menangani kekangan-kekangan itu dan menyusun langkah penyelesaian berpandukan respon pelabur-pelabur sedia ada dan asing.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya seorang pelabur mahukan tapak 1618.7 hektar sehingga 2023.4 hektar di tepi laut, jadi kerajaan negeri perlu menyediakan tanah tersebut baru pelabur datang ke Kelantan,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Kemahang turut memaklumkan kerajaan negeri mengiatkan promosi bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Dalam pada itu, Md Anizam yang menjawab soalan tambahan daripada Kamaruzaman Mohamad (Gual Periok- Pas) memberitahu pelaburan paling besar di Kelantan ialah syarikat Rohm Wako Sdn Bhd yang menjalankan industri semiconductor.

“Pelaburan lain yang turut menjadi fokus ialah industri fabrik, farmasi, makanan dan mineral,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!