Joe Biden arah tentera AS bina pelabuhan sementara di Gaza

Anggota tentera Amerika Syarikat memindahkan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza dari pesawat tentera. Gambar ini dikeluarkan pada 5 Mac lalu oleh Reuters.
Anggota tentera Amerika Syarikat memindahkan bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza dari pesawat tentera. Gambar ini dikeluarkan pada 5 Mac lalu oleh Reuters.
A
A
A

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) akan menubuhkan pelabuhan sementara di Gaza supaya lebih banyak bantuan boleh masuk ke wilayah yang terkepung itu melalui laut, kata Presiden Joe Biden dalam ucapan yang dijangka disampai beliau kepada Kongres pada Khamis (7 Mac) malam.

Penubuhan Pelabuhan sementara itu, bagaimanapun, tidak akan melibatkan tentera AS di Gaza, kata pegawai kanan pentadbiran.

"Kami tidak menunggu (tindakan) Israel. Ini adalah saat untuk kepimpinan Amerika (mengambil tindakan)," kata seorang pegawai kepada pemberita, di tengah-tengah kekecewaan White House yang semakin meningkat berikutan kegagalan Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke wilayah itu.

"Malam ini presiden akan mengumumkan dalam ucapan di Kongres bahawa beliau telah mengarahkan tentera AS untuk menjalankan misi kecemasan untuk menubuhkan sebuah pelabuhan di Gaza," kata pegawai itu.

"Pelabuhan ini, ciri utamanya adalah jeti sementara, akan menyediakan kapasiti untuk ratusan trak tambahan bantuan setiap hari."

Pegawai AS itu berkata, usaha itu akan mengambil masa "beberapa minggu" sehingga "keupayaan penting" berkenaan mampu membawa lebih banyak bantuan kepada rakyat Gaza yang terdesak.

Bantuan itu akan datang melalui koridor maritim yang membawa bantuan melalui laut dari pelabuhan Larnaca, di pulau Mediterranean Cyprus.

Pegawai AS itu juga dalam masa sama menegaskan, tentera Amerika tidak akan ditempatkan di bumi Gaza yang telah berada di bawah pengeboman tanpa henti oleh Zionis Israel sejak serangan oleh pasukan pejuang Palestin, Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Pegawai yang sama juga tidak menyatakan dengan tepat bagaimana pelabuhan itu akan berfungsi tanpa kakitangan Amerika di bumi di Gaza, namun memberi bayangan bahawa "rakan kongsi dan sekutu" serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan akan terlibat di sekitar pesisir pantai.

"Tentera AS mempunyai keupayaan unik dan mereka boleh melakukan perkara dari luar pesisir yang luar biasa dan itulah konsep operasi yang telah diberikan taklimat kepada Presiden," kata seorang lagi pegawai AS.

Pihak Israel juga telah dimaklumkan mengenai penubuhan pelabuhan sementara ini dan kedua-dua pihak akan bekerjasama mengenai keperluan keselamatan.

Pengumuman yang akan dibuat oleh Presiden AS dalam ucapan beliau kepada Kongres itu kelak bakal menggariskan ketegangan tekanan politik yang sedang dialami Biden berikutan sokongan teguhnya terhadap Israel, walaupun angka kematian dan krisis kemanusiaan di Gaza meningkat.

Pada minggu lalu, Biden mengumumkan AS memulakan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, susulan insiden lebih 100 orang terbunuh di stesen bantuan di utara wilayah itu.

Usaha untuk mencapai gencatan senjata selama enam minggu di Gaza diteruskan, dengan pegawai mengulangi bahawa "tanggungjawab Hamas" untuk bersetuju membebaskan tebusan Israel yang ditangkap dalam serangan itu. - Awani/ Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!