Tidak sesuai mandi-manda di Pantai Teluk Lipat

Wan Hassan (kanan) bertemu keluarga mangsa lemas di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada Sabtu lalu. Foto Facebook Wan Hassan
Wan Hassan (kanan) bertemu keluarga mangsa lemas di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada Sabtu lalu. Foto Facebook Wan Hassan
A
A
A

DUNGUN - Walaupun terkenal dengan keindahan yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan luar Terengganu, Pantai Teluk Lipat di sini bukan lokasi sesuai untuk mandi-manda terutama pada musim tengkujuh.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, orang ramai perlu lebih berwaspada dan mengambil iktibar susulan kejadian lemas yang menimpa dua kanak-kanak di pantai berkenaan pada Sabtu lalu.

Jelas beliau, kanak-kanak yang berkunjung ke pantai berkenaan juga memerlukan pengawasan rapi ibu bapa sekiranya berkunjung di luar musim tengkujuh.

"Saya nasihatkan semua pihak supaya lebih berhati-hati kerana musim tengkujuh di Terengganu belum lagi reda sepenuhnya.

"Untuk penduduk tempatan mungkin sedia faham situasi itu. Kalau musim biasa di luar musim tengkujuh, kawasan tu sebenarnya boleh mandi tapi perlu ada pengawasan ketat dan tahu di kawasan mana yang boleh pergi dan tak boleh pergi.

"Kalau ikutkan pantai ini tak boleh mandi-manda, ditambah pula sekarang ni keadaan ombak masih bergelora. Terdapat aliran arus kuat dari bawah yang akan menarik mereka yang mandi-manda. Jadi kalau situasi itu berlaku memang tak sempat selamatkan diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Isnin.

Wan Hassan berkata, papan tanda amaran juga perlu ditambah di kawasan itu bagi memberi peringatan kepada pengunjung supaya lebih berwaspada dan tidak melakukan aktiviti di air.

Wan Hassan (tiga dari kanan) meluangkan masa bwrtemu keluarga mangsa lemas di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada Sabtu lalu. Foto Facebook Wan Hassan
Wan Hassan (tiga dari kanan) meluangkan masa bwrtemu keluarga mangsa lemas di Pantai Teluk Lipat, Dungun pada Sabtu lalu. Foto Facebook Wan Hassan

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah ada pasang papan tanda amaran dan akan tambah lagi papan tanda di kawasan itu selepas ini.

"Kita juga akan mempertimbangkan untuk menyediakan lifeguard yang mana akan turut melibatkan pihak berkuasa," katanya.

Sabtu lalu, dua daripada tiga kanak-kanak ditemukan lemas selepas ditarik arus ke tengah laut ketika mandi-manda di pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Mohammad Atiff Farrdugi Zainudin, 11, dan Muhammad Danish Mikail Abdullah, 9, ditemukan lemas manakala rakan mereka Ahmad Azril Farhan Mat Zain,11, selamat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28