Dua kanak-kanak lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat

Salah seorang mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada jam 4.57 petang kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas. Foto BBP Dungun
Salah seorang mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada jam 4.57 petang kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir mangsa dipercayai lemas. Foto BBP Dungun
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat, di sini pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Sharizal Shamsudin berkata, mangsa berusia sembilan dan 11 tahun itu ditemukan pasukan penyelamat pada jarak dan waktu yang berasingan dari lokasi terakhir mereka dipercayai lemas.

"Semasa kejadian, tiga orang rakan berusia sembilan hingga 11 tahun sedang mandi-manda bersama di pantai berkenaan sebelum dua daripadanya dipercayai lemas akibat dibawa arus deras.

"Seorang rakannya yang berusia 11 tahun ketika itu selamat kerana tidak dibawa arus selain berada di kawasan yang tidak dalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Sharizal berkata, mangsa yang berusia sembilan tahun itu ditemukan pasukan penyelamat pada jam 4.57 petang kira-kira 150 meter dari lokasi terakhir dia dipercayai lemas, manakala seorang lagi dijumpai jam 6.24 petang kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir.

Sharizal berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, seramai 22 anggota dari BBP Dungun termasuk anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: