Cadang wujud tempat latihan industri untuk anak peladang

Zainal Azman (tiga dari kanan) dan Phahrolrazi (dua dari kiri) bersama tiga penerima Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang yang diraikan pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas di sini hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zainal Azman (tiga dari kanan) dan Phahrolrazi (dua dari kiri) bersama tiga penerima Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang yang diraikan pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Nafas di sini hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mempertimbang cadangan untuk menyediakan tempat atau peluang kepada anak-anak peladang untuk menjalani latihan industri di kementerian termasuk agensi di bawahnya.

Ketua Setiausahanya, Datuk Zainal Azman Abu Seman berkata, pihaknya melihat terdapat keperluan itu ekoran jumlah graduan yang mengikuti pengajian ijazah serta mempunyai pencapaian cemerlang khususnya dari kalangan anak petani dan peladang kini semakin ramai.

Menurutnya, kebanyakan mereka juga memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 dan ke atas.

Justeru katanya, beliau melihat MOA serta agensi-agensi di bawahnya boleh memainkan peranan untuk membantu anak-anak petani serta peladang dalam bidang-bidang yang bersesuaian bagi memberi peluang untuk mereka menjalani latihan industri di jabatan bersesuaian.

"Dengan itu, mereka boleh dapat pengalaman dan latihan yang akhirnya dapat menarik minat untuk menyertai sektor pertanian dan asas tani.

"Oleh itu, pihak kementerian akan memperincikan perkara ini termasuk tempoh latihan sama ada tiga atau enam bulan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang 2019 di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini hari ini.

Zainal Azman berkata, selain itu, di MOA juga sudah terdapat beberapa program antaranya seperti program Industri Asas Tani (IAT) dan Agropreneur Muda yang menggalakkan penyertaan anak muda.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Phahrolrazi yang juga Pengerusi Yayasan Pelajaran Peladang berkata, beliau menyambut baik cadangan kementerian untuk mewujudkan program latihan industri untuk anak-anak peladang.

"Jika tempat-tempat ini boleh disediakan, kita boleh masukkan anak-anak peladang ini untuk menjalani praktikal di pejabat pertubuhan peladang negeri atau diletakkan di pejabat pertubuhan peladang kebangsaan.

"Dengan ini mereka boleh didedahkan bagaimana sebenarnya pertanian di peringkat pertubuhan peladang diuruskan," katanya.

Dalam pada itu, pada majlis sama, seramai 19 anak peladang dari seluruh negara diberi penghargaan selepas memperoleh keputusan cemerlang bagi pengajian Ijazah pertama dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan dan dipilih berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas.

Tiga penerima utama adalah Muhammad Faez Mohd Kamaruzzaman, 26, yang memperoleh wang tunai RM5,000, Wan Nuraini Wan Rosdi (RM4,000) dan Nur Hidayah Yusoff (RM3,000) manakala yang lain memperoleh saguhati RM1,000 seorang.