PDRM jinakkan Selangor di Petaling Jaya

Pemain Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi diasak pemain PDRM, Mohamad Azmi Muslim pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
Pemain Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi diasak pemain PDRM, Mohamad Azmi Muslim pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

PDRM FC meneruskan momentum positif apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut Liga Super apabila menewaskan pasukan pilihan Selangor FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

The Cops kendalian, Azzmi Ab Aziz yang masih segar dengan kemenangan 4-1 ke atas kelab bermasalah Kelantan FC di Kota Bharu 23 Mei lalu ternyata berjaya mengekang asakan jentera pasukan pelawat.

Anak buah Tan Cheng Hoe yang tampil dengan suntikan semangat kemenangan 3-2 ke atas Kedah Darul Aman FC sebelum ini ternyata menguasai rentak permainan.

Bagaimanapun beberapa percubaan berbahaya The Red Giants terutamanya Quentin Cheng gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan untuk kedudukan terikat tanpa jaringan separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, pertahanan The Cops tampil lebih berdisiplin apabila berjaya menutup setiap ruang sekali gus menggagalkan beberapa percubaan jentera depan The Red Giants.

The Cops sebaliknya yang kurang melakukan serangan akhirnya berjaya menemui gol dicari hasil jaringan peledak The Cops, Bruno Suzuki yang menyudahkan hantaran Marcus Macauley pada minit ke-61.

Tiga mata diraih PDRM menyaksikan 16 mata hasil lima menang, satu seri dan tujuh tewas selepas mengharungi 13 perlawanan.

Sementara itu, Selangor pula di tangga kedua dengan 28 mata hasil sembilan menang, satu seri, tiga tewas selepas 13 perlawanan.

PDRM selepas ini dijadualkan melayan kunjungan Sabah FC kendalian Datuk Ong Kim Swee di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Jun.

Sementara itu, Selangor pula akan bertandang ke Stadium Sultan Muhamad IV, Kota Bharu berdepan Kelantan United pada 7 Jun.