Kelekaan hukum Selangor di Petaling Jaya

Pemain Selangor, Ahmad Khuzaimi Piee dihalang pemain PDRM dalam perlawanan Liga Super di Petaling Jaya para Sabtu.
Pemain Selangor, Ahmad Khuzaimi Piee dihalang pemain PDRM dalam perlawanan Liga Super di Petaling Jaya para Sabtu.
A
A
A

KELEKAAN menyaksikan Selangor FC terpaksa berputih mata ketika tewas 0-1 kepada PDRM FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.

Itu rumusan pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe selepas The Red Giants melabuh tirai pusingan pertama dengan kekalahan ketiga musim ini setelah mengharungi 13 perlawanan liga.

"Sejujurnya sukar untuk terima keputusan ini yang berpunca kelekaan para pemain terutamanya semasa transisi menyerang kita dibolosi gol tersebut yang menjejaskan tumpuan pasukan walaupun keseluruhannya Selangor bermain dengan baik.

"Biarpun begitu saya tidak boleh menafikan bahawa para pemain telah bermain dengan baik dan bekerja keras sepanjang 90 minit permainan.

"Namun inilah realiti bola sepak apabila top team menentang pasukan bawah, kemungkinan besar insiden seperti ini boleh berlaku, biarpun begitu kita harus mengambil pengajaran supaya tidak lagi keciciran mata perlawanan berikutnya," katanya selepas perlawanan pada Sabtu.

Dalam perlawanan itu, jaringan tonggak PDRM, Bruno Suzuki pada minit ke-61 memastikan The Cops kendalian, Azzmi Ab Aziz mengekalkan kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Kelantan FC, 4-1 di Kota Bharu pada 23 Mei lalu.

Pada masa sama Cheng Hoe mengakui biarpun mengawal rentak perlawanan berdepan The Cops, namun kegagalan jentera depan menterjemahkan setiap percubaan dalam bentuk jaringan menyaksikan The Red Giants berputih mata.

"Dalam bola sepak apabila peluang-peluang di depan pintu gol sebegini tidak dimanfaatkan sepenuhnya, secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada para pemain pasukan lawan.

"Sebenarnya adalah penting untuk para pemain kekal fokus bermula dari minit pertama sehingga permainan berakhir, namun apabila permainan masih tanpa jaringan kemudian pasukan lawan menjaringkan gol adalah sukar untuk pasukan kita bangkit.

"Dan ini dibuktikan setelah pasukan lawan memanfaatkan satu peluang keemasan dengan menjaringkan gol kemenangan," katanya.

Dalam pada itu, Azzmi mengakui gembira dengan kejayaan mengalahkan Selangor dalam perlawanan tersebut.

"Syukur, alhamdulillah tiga mata ke atas Selangor bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan pasukan kedua terbaik negara selepas Johor Darul Ta'zim (JDT), tambahnya pula dengan hanya dua kekalahan sahaja musim ini sebelum berdepan PDRM.

"Alhamdulillah, hari ini kita score gol apabila mendapat peluang keemasan walaupun pasukan tidak banyak mendapat peluang menjaringkan gol dalam permainan ini.

"Saya harap team ini akan berkembang lagi selepas ini, kerana banyak masa lagi diperlukan untuk memantapkan kualiti permainan pasukan," katanya.