Langkah awal Thailand haramkan ganja satu tindakan sangat tepat

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengumuman kerajaan gabungan baharu Thailand yang diketuai Sretta Thavisin untuk mengharamkan penggunaan ganja bagi tujuan rekreasi merupakan satu keputusan sangat tepat.

Mantan Ahli Majlis Eksekutif, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, tindakan tersebut adalah langkah yang perlu disokong oleh semua pihak termasuk Malaysia sebagai negara jiran terdekat.

Beliau yang juga Penasihat Kebajikan Keluarga Bekas Polis dan Tentera (Poltera) berkata, bukan sahaja sejuta tahniah perlu diucapkan terhadap tindakan baharu terbabit, malah ia memberi gambaran jelas bahawa kesan penggunaan ganja sangat bahaya kepada orang ramai.

Tegas beliau, istilah rekreasi yang digunakan sebelum ini agak mengaburi persepsi orang ramai kerana tujuan sebenar ganja digunakan untuk hiburan dan menyebabkan pengguna akan menjadi khayal (high).

"Penggunaan ganja secara rekreasi telah dibenarkan oleh kerajaan Junta terdahulu atas alasan kononnya boleh memudahkan pemantauan dan menggalakkan industri pelancongan di negara tersebut.

"Kebenaran secara undang-undang terbabit melibatkan jenis-jenis ganja seperti marijuana, kanabis serta hemp.

"Walaupun ganja merupakan narkotik pada kategori lebih rendah kesan kemabukannya, tetapi apabila ganja yang digunakan secara rekreasi dirasakan tidak cukup kuat, maka kumpulan pengguna akan mula beralih kepada substan yang lebih kuat seperti pil khayal, heroin, ice dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara tersebut mendatangkan kemudaratan besar dan kesan lebih negatif mula dihadapi oleh masyarakat serta kerajaan.

Kata beliau, Thailand dikelilingi oleh negara-negara jiran yang mempunyai undang-undang yang sangat ketat berhubung penggunaan ganja sehingga boleh menyebabkan hukuman mati.

Artikel Berkaitan:

Untuk itu katanya, langkah terbaharu kerajaan Thailand dalam perkara terbabit perlu diberi pujian dan disokong sepenuhnya.

Menurutnya, Malaysia seharusnya bersyukur dengan tindakan terbaharu dari negara jiran tersebut kerana ia mampu menyelamatkan sebilangan rakyat di negara ini.

Ini kerana jelasnya, banyak juga penyalahgunaan ganja dilakukan oleh warga Malaysia yang berkunjung ke Thailand untuk menikmati kesan 'high' ganja secara sah.

Malah beliau mendakwa, terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang menjadi ketagih dan mula membawa masuk ganja secara haram ke negara ini.

"Kalau dilihat secara pelaksanaannya, kerajaan Thailand memberikan notis waktu yang agak lama bagi pengharaman substan tersebut iaitu pada penghujung tahun ini.

"Namun begitu, ia satu langkah awal yang sangat tepat bagi mengawal penyalahgunaan dadah melibatkan rakyat Malaysia," ujarnya.

Dalam pada itu, Erwan menegaskan, beliau secara peribadi sangat tidak bersetuju dengan beberapa cadangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini yang mahukan ganja dihalalkan di Malaysia.

Beliau berkata, selain memudaratkan masyarakat, ia juga akan meningkatkan lebih banyak masalah sosial dalam kalangan anak muda dan sudah semestinya kes kes jenayah melibatkan dadah juga pasti akan meningkat.

Walau bagaimanapun katanya, beliau menyokong usaha penanaman kanabis bagi menghasilkan Cannabidiol (CBD) yang dapat membantu menyembuhkan penyakit kanser, parkinson dan sakit kronik lain.

Tambahnya, penggunaan bahan-bahan berasaskan ganja untuk tujuan kosmetik, perubatan dan saintifik masih terus dibenarkan oleh kerajaan Thailand.

"Ganja dan kanabis adalah dua jenis tanaman yang berbeza kerana mempunyai kandungan THC yang berbeza.

"Saya rasa perkara itu masih lagi berpatutan memandangkan ganja adalah suatu bahan semula jadi yang mungkin bermanfaat untuk tujuan tertentu, asalkan tidak disalahguna untuk merosakkan akal," ujarnya.