Taktik sembunyi bungkusan dadah adiwira dalam pas penerbangan terbongkar

Bungkusan dadah terdiri daripada beberapa watak adiwira dipercayai disembunyikan dalam pas penerbangan yang diubah suai.
Bungkusan dadah terdiri daripada beberapa watak adiwira dipercayai disembunyikan dalam pas penerbangan yang diubah suai.
A
A
A

PETALING JAYA - Taktik menyembunyikan dadah dalam pas penerbangan yang diubah suai terbongkar menerusi tangkapan seorang lelaki menerusi serbuan di sebuah unit apartmen dekat Sungai Way di sini, Jumaat lalu.

Kesemua dadah ini diproses sebelum dimasukkan dalam bungkusan pelbagai watak adiwira dan disembunyikan dalam pas penerbangan berkenaan sebelum dijual di pasaran.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, suspek lelaki berumur 26 tahun itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.40 malam.

"Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemui satu kotak berwarna coklat mengandungi lima peket pil ectasy, dua peket lut sinar ketamin, 28 keping bungkusan aluminium eramin five dan 304 peket serbuk ectasy.

"Serbuan dijalankan turut merampas peralatan untuk memproses jus dadah antaranya lima alat pengisar, dua gunting, dua penimbang digital dan pelbagai peralatan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini pada Khamis.

Katanya, siasatan awal mendapati kegiatan ini menggunakan pas penerbangan untuk menyembunyikan bungkusan dadah sebelum dijual.

"Kesemua dadah ini akan dikisar dan dicampur dengan serbuk perisa buah-buahan sebelum dibungkus serta dimasukkan dalam pas penerbangan.

Artikel Berkaitan:

Shahrulnizam (tengah) menunjukkan pas penerbangan yang diubah suai untuk dimasukkan bungkusan dadah sebelum dijual di pasaran.
Shahrulnizam (tengah) menunjukkan pas penerbangan yang diubah suai untuk dimasukkan bungkusan dadah sebelum dijual di pasaran.

"Siasatan mendapati setiap bungkusan berkenaan mempunyai berat 105 gram dan dijual sekitar harga RM250 di beberapa pusat hiburan sekitar Lembah Klang," katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dadah ini sebanyak RM406,309.

"Anggaran keseluruhan rampasan melibatkan 5.6 kilogram serbuk ectasy, pil ectasy seberat 0.4 kilogram, ketamin (73 gram) dan pil eramin five (80 gram).

"Selain itu, turut disita adalah wang tunai sebanyak RM320, satu unit telefon pintar bernilai RM2,500 melibatkan jumlah sitaan RM2,820," katanya.

Shahrulnizam berkata, hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis benzo.

"Semakan mendapati suspek mempunyai sejarah terlibat dengan pengedaran dadah lebih kurang dua bulan sekitar kawasan Sungai Way.

"Suspek turut terlibat dalam penagihan dadah sejak dua tahun lalu," katanya.

Jelasnya, suspek kini direman enam hari untuk siasatan lanjut berkaitan kes ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Polis kini sedang mengesan seorang lelaki tempatan dipercayai turut terlibat dalam kegiatan berkenaan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28