Sorok dadah dalam kandang kambing

Hussein (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan sekitar kawasan Puncak Alam dan Kapar.
Hussein (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan sekitar kawasan Puncak Alam dan Kapar.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Taktik sindiket pengedaran dadah menyembunyikan bungkusan dadah di kawasan kandang kambing terbongkar dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Puncak Alam dan Kapar baru-baru ini.

Kandang kambing berkenaan yang diusahakan oleh salah seorang suspek diberkas dijadikan lokasi untuk menyembunyikan dadah dengan cara menanamnya di kawasan berkenaan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Dadah yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Puncak Alam dan Kapar.
Dadah yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Puncak Alam dan Kapar.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu turut berjaya menahan 10 lelaki warga tempatan berumur antara 18 hingga 44 tahun serta merampas keseluruhan dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM10.39 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu di kawasan sekitar Klang dan Sungai Buloh.

Beliau berkata, operasi pertama melibatkan tangkapan seorang lelaki yang menaiki kenderaan jenis Ford Ranger di kawasan tepi jalan kawasan perumahan Bandar Puncak Alam kira-kira jam 11.25 pagi.

"Hasil pemeriksaan menemukan 241 bungkusan dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 250.8 kilogram dalam kenderaan dinaiki suspek.

Artikel Berkaitan:

"Tangkapan suspek terbabit kemudian membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki tempatan di sebuah restoran di kawasan Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam dan pemeriksaan terhadap kereta jenis Honda CRV menemukan satu guni berisi sembilan bungkusan dadah jenis methamphetamine seberat 9.37 kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.

Katanya, operasi kedua kemudiannya dijalankan di kawasan kandang kambing di Kapar pada 3 November.

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 6 petang itu memberkas enam lelaki tempatan yang berada di lokasi serbuan berkenaan.

"Pemeriksaan dijalankan menemukan satu plastik mengandungi 44 paket lut sinar berisi heroin dengan anggaran berat 62 gram," katanya.

Menurutnya, siasatan di lokasi serbuan kemudiannya menemukan sejumlah dadah yang ditanam dalam tanah.

"Pemeriksaan mendapati antara dadah yang ditanam adalah 109 peket heroin seberat 49.5 kilogram dan lapan peket methamphetamine seberat 1.61 kilogram.

"Selain itu, turut ditemukan adalah 41 ketulan mampat mengandungi serbuk berwarna putih dibalut dengan plastik lut sinar dan kertas berwarna kuning dipercayai heroin base seberat 15.5 kilogram," katanya.

Hussein berkata, suspek ditahan terdiri daripada pengusaha ladang kelapa sawit, peniaga pakaian lusuh dan buruh.

"Semakan mendapati enam daripada 10 suspek memiliki rekod lampau berkaitan jenayah.

"Selain itu, empat suspek didapati positif dadah menerusi saringan air kencing yang dijalankan," katanya.

Tambahnya, secara keseluruhannya, berat dadah yang dirampas melibatkan 15.4 kilogram (kg) heroin base, heroin (49.5kg) dan 261.7kg methamphetamine.

"Siasatan awal mendapati kesemua dadah ini dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di utara semenanjung.

"Selain itu, polis turut merampas serta menyita empat kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda Stream dan dua buah Honda City serta satu akaun bank yang bernilai RM269,229," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.