Selangor catat penyelesaian projek tertinggi - Amirudin

Amirudin menjawab pertanyaan semasa Sidang DUN Selangor pada Rabu.
Amirudin menjawab pertanyaan semasa Sidang DUN Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan penyelesaian projek tertinggi pada kadar 99.6 peratus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peratusan itu diperoleh hasil daripada laporan pelaksanaan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Ini adalah pencapaian baik oleh pihak kerajaan negeri dan mengekalkan momentum tersebut dengan mengurangkan beberapa aspek-aspek seperti ketirisan, lambat siap atau pun lambat tugas termasuk pemilihan kontraktor bagi projek-projek ekonomi yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Bangunan DUN Selangor pada Rabu.

Amirudin memberitahu, beberapa garis panduan telah disiapkan kerajaan negeri termasuk projek-projek yang telah disenaraikan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

"RS-1 akan diteliti satu persatu dan akan dilaksanakan mengikut pelan-pelan yang telah ditetapkan," ujar beliau.

Terdahulu Azmizam bertanya kepada Amirudin mengenai pelan kerajaan negeri meningkatkan pembangunan ekonomi di negeri Selangor.

Amirudin dalam jawapannya memberitahu, kerajaan negeri Selangor mengambil kira perkembangan semasa termasuk hal berkaitan dengan geopolitik serantau dan juga dunia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hal itu penting bagi memastikan kedudukan ekonomi dan juga pencapaian ekonomi di Selangor terus mampu untuk memberikan impak dan kesan besar kepada pertumbuhan negara sebagaimana pencapaian sebelum ini.

"Ekonomi negeri Selangor diunjurkan tumbuh lebih pantas pada tahun ini dengan kadar 5.2 peratus berbanding tahun lalu pada kadar 4.1 peratus," ujar beliau.

Justeru, Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri akan menitikberatkan aspek pelaksanaan dan beberapa sesi dialog awam telah dilaksanakan kerajaan negeri bersama dengan ketua-ketua penjawat awam dan anak syarikat kerajaan negeri.

"Paling utama kita telah menitikberatkan aspek-aspek pelaksanaan agar ia dapat dilaksanakan sepenuhnya" kata beliau.

Beliau memberitahu, pada tahun ini, beberapa suntikan baharu telah dikemukakan oleh pihak kerajaan negeri yang dijangka akan memberikan impak kepada kegiatan ekonomi antaranya memperkenalkan Gagasan Lembah Klang Raya.

Menurut Amirudin, gagasan itu ialah dengan mewujudkan satu sistem pentadbiran bagi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melalui pewujudan Enakmen Lembah Klang Raya.

"Pewujudan satu sistem pentadbiran ini adalah bertujuan untuk menambah baik dan melicinkan urusan berkaitan kualiti perkhidmatan PBT, pengangkutan awam, rejuvenasi kawasan kediaman dan komersial sedia ada.

"Selain itu, isu tanah pegangan pajakan yang hampir matang antaranya dengan menyeragamkan proses perniagaan dan pembangunan, mengurangkan karenah birokrasi serta memudahkan kehidupan rakyat.

Ujar beliau, proses rejuvenasi bandar-bandar matang itu dimulakan bagi menarik pelaburan dalam industri baharu berteraskan digitalisasi.

"Kita berharap Gagasan Lembah Klang Raya menjadi bandar yang berdaya tahan terutamanya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, bandar yang mampan, serta berdaya huni," tambahnya.