Selangor catat RM55.3 bilion pelaburan asing, domestik

Sze Han ketika menjawab pertanyaan pada sidang DUN Selangor pada Jumaat.
Sze Han ketika menjawab pertanyaan pada sidang DUN Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pelaburan asing dan domestik Invest Selangor Bhd melebihi sasaran apabila mencatatkan nilai RM55.3 bilion pada tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, jumlah itu melebihi sasaran Invest Selangor iaitu RM45 bilion bagi kedua-dua pelaburan itu.

"Semalam, MIDA telah mengumumkan jumlah pelaburan domestik dan asing melebihi sasaran Invest Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Sze Han memberitahu, berdasarkan data MIDA pada tahun sama menunjukkan projek perkilangan atau sektor pembuatan mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun.

"Sektor itu mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM19.3 bilion tahun lalu berbanding RM12.2 bilion tahun sebelumnya," ujar beliau.

Ujar beliau, bagi tempoh tiga tahun bermula 2021 hingga September tahun lalu, sejumlah RM47.57 bilion modal pelaburan asing telah masuk ke negeri Selangor.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM21.53 bilion adalah bagi sektor pembuatan dan selebihnya iaitu RM26.04 bilion pula sektor perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan, jumlah modal pelaburan asing ke Selangor pada tiga tahun tersebut adalah RM1.99 bilion pada 2021, RM30.17 bilion pada 2022 dan RM15.4 bilion sehingga September tahun lalu," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28