Kerajaan negeri cari penyelesaian segera atasi ban pecah

Amirudin melawat mangsa banjir di PPS SMK Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dato Ahmad Razali.
Amirudin melawat mangsa banjir di PPS SMK Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dato Ahmad Razali.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri akan mencari penyelesaian segera bagi mengatasi punca ban kerap pecah hingga mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekitar Dengkil.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sehubungan itu berkata, pentadbiran negeri akan bertemu agensi berkaitan pada Jumaat bagi mengenal pasti puncanya.

Menurutnya, bahan pembuatan ban ditukar selepas kejadian banjir pada 2021, namun insiden sama berulang terutama di Kampung Cemperai dan Sri Tanjung.

“Kita kena cari penyelesaian segera untuk tangani isu ini, cuma bagaimana kita ingin membina ban yang lebih ampuh.

“Kita mahu tengok apa usaha dibuat setelah arahan jelas dikeluarkan bulan lepas bahawa tindakan konkrit harus dilakukan untuk mengelakkan banjir di kawasan titik panas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Khamis selepas meninjau laluan di persimpangan lampu isyarat Kiwa dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang sebelum ini ditutup akibat banjir kilat.

Amirudin (kiri) berbual bersama mangsa banjir.
Amirudin (kiri) berbual bersama mangsa banjir.

Terdahulu, Amirudin melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pembinaan ban sementara di kampung terbabit yang pecah akibat banjir pada Ahad lalu siap dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri Besar turut memaklumkan banjir kini mulai surut dan kerja pembersihan sudah bermula malah beliau sudah merujuk pihak jawatankuasa bencana daerah untuk membawa sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir.

Sementara itu, sebuah pam air juga akan ditempatkan di Sungai Lebu bagi mengatasi masalah banjir kilat di persimpangan lampu isyarat Kiwa, Kota Warisan di Sepang.

Menteri Besar menambah Majlis Perbandaran Sepang juga akan mencari penyelesaian untuk mengalihkan limpahan air berkenaan ke sungai berdekatan.