Jangan pinggirkan suara PH di Johor - Amanah

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) Johor diharap tidak terus meminggirkan suara mahu pun pandangan daripada Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan kerana ia hanya memberikan gambaran yang salah terhadap kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan juga di peringkat negeri.

Menurut Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad, tindakan sedemikian menimbulkan persoalan apakah kedua-dua gabungan tersebut akan terus bersama atau bergerak secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN16) kelak.

“Sebenarnya, penting juga setiap keputusan yang dibuat oleh BN Johor... ia bukan sekadar mengambil kira keadaan semasa dan sedia ada sahaja, tapi perlu juga ambil kira persiapan untuk hadapi PRN16.

“Adakah kita (PH-BN Johor) akan adakan kerjasama sebagaimana negeri lain menjelang PRN16 atau kita akan bergerak secara bersendirian iaitu PH sendirian dan BN Johor sendirian? Jika sebagai gabungan bersama, kita minta dan harap supaya permohonan dan pandangan PH Johor diambil kira, bukan dikesampingkan atau tidak dipedulikan sahaja.

“Kita tak mahu berlaku apabila sudah tiba masa untuk bubar Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti, masa tulah baru nak wujudkan semangat perpaduan PH-BN di Johor, kita bimbang masa itu sudah terlalu lewat untuk kita bentuk kerjasama dan persefahaman terutamanya di Johor,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Amanah Johor, yang juga Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dan Naib Pengerusi II Amanah Johor, Dr Sulaiman Mohd Noor.

Aminolhuda berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang melaporkan ketiadaan wakil PH dalam senarai Exco Johor yang baharu sahaja dirombak bakal membawa perpecahan bagi gabungan PH-BN di Johor.

Pada laporan tersebut, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmil Mohd Tayeb dilaporkan berkata, tindakan BN Johor mengecualikan wakil PH adalah tindakan yang mengejutkan berbanding apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang menyaksikan PH melantik Exco daripada kalangan wakil BN.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dzulkefly yang juga Ketua Amanah Kawasan Iskandar Puteri berkata, BN Johor perlu meneliti semula indicator (penunjuk) Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Katanya, penunjuk berkenaan pula perlu dilihat daripada aspek yang membabitkan sokongan orang Melayu kepada PH-BN.

“Kita sangat mengharapkan supaya pandangan PH Johor didengari dan diambil kira, sebabnya kita mahu memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan di Persekutuan dan negeri dengan semangat yang sama.

“Sekali gus, ia akan membentuk kerjasama lebih erat dan kukuh bagi meyakinkan pengundi dan rakyat,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28