Pemimpin Amanah Perak tawar diri ketuai Pemuda Nasional

AZHAR
AZHAR
A
A
A

IPOH - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Azhar Rahman menawarkan diri untuk mengetuai Pemuda Amanah Nasional pada pemilihan sayap parti berkenaan Disember depan.

Menurut Azhar, hasrat itu dinyatakan secara terbuka bagi membawa dimensi baharu terhadap Pemuda Amanah untuk memperkukuhkan parti.

Katanya, pemimpin muda Amanah perlu memposisikan diri bagi memasarkan parti untuk menarik golongan muda bersama parti itu.

"Ketika Amanah menjadi pembangkang, kita ada ramai tokoh-tokoh muda yang menonjol dan berperanan di dalam parti.

"Bagaimanapun setelah menjadi kerajaan, pemimpin muda Amanah agak terpinggir berbanding pemuda parti-parti lain di dalam kerajaan.

"Sebab itulah saya menawarkan diri untuk membawa perubahan terhadap golongan muda di dalam Amanah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Azhar yang juga Exco Pemuda Amanah Nasional berkata, tawaran untuk menerajui Pemuda Amanah Nasional itu bukan bermaksud mahu mewujudkan perpecahan di dalam pemilihan sebaliknya sebagai langkah menyuburkan lagi demokrasi di dalam parti.

Mengakui persaingan agak sengit memandangkan terdapat pemimpin dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut menawarkan diri, beliau tidak berasa gentar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun bukan berstatus wakil rakyat, namun ia bukan halangan untuk menawarkan pengalaman mahupun kemampuan memimpin sayap parti itu.

Pemilihan bagi jawatankuasa baharu Pemuda Amanah Nasional dijadual berlangsung sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional pada 15 dan 16 Disember depan.

Difahamkan selain Azhar, dua lagi calon yang menawarkan diri ialah penyandang jawatan berkenaan, Hasbie Muda dan ADUN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.