Bersatu persoal 'realiti' pelaburan diluluskan tertinggi

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung negara mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, namun nilai ringgit dan eksport setiap negeri merosot.

Beliau berkata, meskipun fakta dinyatakan betul, tetapi secara realitinya tidak nampak kerana rakyat merasai sendiri kenaikan harga barang, masalah gaji dan bonus serta peluang pekerjaan ‘suam-suam kuku’ sehinggakan ada yang terpaksa mengikat perut.

Malah menurutnya, tidak adil jika hendak membandingkan jumlah pelaburan diluluskan 23 peratus lebih tinggi pada 2022 kerana negara ketika itu masih bergelut dengan fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Tangkap layar hantaran Razali di Facebook pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran Razali di Facebook pada Jumaat.

“Rakyat hendak tahu berapa peratusan pelaburan yang kononnya diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, sebenar-benarnya telah direalisasikan?

“Direalisasikan dan diluluskan adalah dua perkara berbeza, jangan kelirukan rakyat.

“Malah ada juga syarikat yang tidak mempunyai rekod baik dalam pelaburan, maka rakyat berhak tahu syarikat mana yang peroleh pelaburan tertinggi ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus.

Razali turut menambah, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 26 Januari lalu menyebut bahawa eksport negara menurun 10 peratus kepada RM118.5 bilion ketika Disember 2023 di hampir setiap negeri, kecuali Kedah (RM850.4 juta), Terengganu (RM673.6 juta), Kuala Lumpur (RM539.8 juta) dan Pahang (RM58 juta).

Justeru, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu lagi, ekonomi rakyat perlu diselesaikan secara bijaksana dan bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan dengan angka memukau.

“Rakyat tidak bodoh dan mahu kerajaan menjadi Kerajaan Madani yang sebenar.

“Nilai ringgit sekarang, adakah angka memukau? Sepatutnya Anwar yang jelaskan, tetapi dihalakannya kepada orang lain, mengelat. Di mana badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan,” soalnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28