Malaysia catat pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama sebanyak 57.2 peratus berbanding domestik iaitu 42 peratus.

Menurut beliau, landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan itu mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi Malaysia sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani.

“Prestasi cemerlang terbabit disokong oleh peningkatan 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan 15.3 peratus untuk pelaburan asing.

“Secara tidak langsung, ini satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan (pro-investment) dan mesra perniagaan (pro-business) yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government) mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.

“Jumlah tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas perkara tersebut dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) bilangan dua tahun 2024 pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang 51.1 peratus iaitu RM168.4 bilion diikuti sektor perkilangan, 46.1 peratus bersamaan RM152 bilion dan sektor utama 2.8 peratus berjumlah RM9.1 bilion.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menjelaskan, mesyuarat berkenaan turut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara selaras dengan perkembangan ekonominya yang semakin pesat dan merupakan antara sektor terpenting dalam memperkukuhkan agenda berkenaan.

Tambah Ahli Parlimen Tambun tersebut, ekonomi digital di negara ini telah menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Menurutnya lagi, sebanyak 396 projek berkaitan digital bagi tempoh 2021 hingga September 2023 telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion yang merangkumi projek melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (National Committee on Investments - NCI).

“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan, antara yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar dan kecerdasan buatan (AI).

“Kehadiran syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa negara mempunyai tarikan serta ekosistem pelaburan digital yang kondusif.

“Justeru, kerajaan perlu memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” ujar Anwar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!