Produktiviti buruh negara catat pertumbuhan positif - DOSM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Produktiviti buruh di Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.7 peratus pada suku tahun keempat 2023 (ST4) dengan jumlah jam bekerja meningkat 2.3 peratus bagi mencatatkan 9.4 bilion jam, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah bilangan pekerja menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.5 peratus, mencatatkan 16.3 juta orang.

"Dengan dorongan pertumbuhan ekonomi dan pasaran buruh yang stabil, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai di tambah per jam bekerja pada suku tahun keempat 2023 telah bertambah baik pada 0.7 peratus, mencatatkan RM43.5 jam per jam bekerja pada ST4 2023, berbanding RM42.2 per jam pada ST3 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata demikian berdasarkan laporan Statistik Produktiviti Buruh, Suku Keempat 2023, terbitan DOSM hari ini.

Beliau berkata, produktiviti buruh seperti dinyatakan sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja mengekalkan pertumbuhan positif dengan dengan peningkatan 0.5 peratus kepada RM25,080 per pekerja.

Dari segi prestasi sektoral bagi produktiviti buruh per jam bekerja, beliau berkata sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan kenaikan 2.6 peratus tahun ke tahun, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian (1.8 peratus), perkhidmatan (1.5 peratus),sektor pertanian (1.0 peratus) manakala pembuatan menunjukkan penurunan negatif 2.8 peratus.

Mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan produktiviti buruh bagi tahun 2023, Mohd Uzir berkata ia mencatatkan pertumbuhan positif 0.2 peratus (2022: 1.8 peratus) dengan nilai RM41.9 per jam (2022: RM41.8 per jam).

"Produktiviti buruh per pekerja yang menunjukkan momentum positif pada 0.9 peratus (2022: 5.4 peratus) untuk mencatatkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM96,692 per pekerja (2022: RM95,858 per pekerja), manakala dua sektor iaitu pembinaan dan perkhidmatan mempamerkan momentum positif yang stabil manakala sektor lain terus turun naik,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28