Solarvest jamin kenaikan kos panel solar tidak jejaskan prestasi

Solarvest Holdings Berhad memberi jaminan kenaikan kos panel solar global tidak menjejaskan prestasi syarikat.
Solarvest Holdings Berhad memberi jaminan kenaikan kos panel solar global tidak menjejaskan prestasi syarikat.
A
A
A

SHAH ALAM– Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) memberi jaminan bahawa peningkatan kos panel solar di peringkat global tidak memberi kesan ketara terhadap prestasi syarikat susulan langkah mitigasi risiko yang telah dilaksanakan lebih awal.

Solarvest Holdings Berhad dalam satu kenyataan berkata, laporan media berkaitan kenaikan kos panel solar susulan penamatan rebat cukai eksport oleh China tidak mencerminkan sepenuhnya kedudukan pasaran dan strategi pengurusan risiko syarikat.

“Solarvest telah mengunci tempahan menyeluruh berkapasiti 2GW dengan pembekal pada harga tetap pada separuh tahun kedua 2025 sebelum pengumuman terbaharu kerajaan China mengenai penamatan rebat cukai eksport sebanyak sembilan peratus.

“Susunan perolehan awal ini memastikan keperluan projek syarikat dipenuhi bagi tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang dengan kontrak tersebut disokong oleh deposit boleh dikembalikan serta jaminan bank bagi melindungi syarikat daripada risiko ketidakpatuhan pembekal,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, berbekalkan hubungan jangka panjang dengan pembekal mapan, Solarvest tidak menjangkakan sebarang gangguan terhadap pelaksanaan projek atau penghantaran susulan pergerakan harga terkini.

“Dalam situasi luar jangka, perlindungan kontrak sedia ada membolehkan syarikat mendapatkan semula deposit dan menguatkuasakan jaminan bank berkaitan.

"Walaupun harga modul solar meningkat di peringkat global, strategi perolehan Solarvest yang disokong pengukuhan nilai ringgit membantu mengehadkan impak terhadap margin bersih," katanya.

Dalam masa sama, penganalisis bebas mengesahkan tekanan margin syarikat masih terkawal manakala asas jangka panjang Solarvest kekal kukuh dengan pengekalan penarafan ‘Buy’ dan ‘Outperform’.

Tambahnya, Solarvest terus melaksanakan strategi pertumbuhan berdaya tahan yang disokong oleh aktiviti kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta pemilikan aset.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat itu juga meneruskan pengambilalihan strategik dan memperkukuh saluran projek serantau bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Solarvest kekal yakin keupayaannya menyesuaikan diri dengan landskap kos yang berubah di samping terus menjana nilai mampan kepada pihak berkepentingan dan menyokong agenda peralihan tenaga bersih negara,” katanya.

Ringkasan AI

  • Solarvest menjamin peningkatan kos panel solar global tidak sangat mempengaruhi prestasi syarikat dengan strategi mitigasi risiko
  • Solarvest telah mengunci tempahan panel solar 2GW dengan harga tetap hingga separuh tahun kedua 2025 sebelum China mengumumkan penamatan rebat cukai eksport
  • Perolehan awal dan hubungan jangka panjang dengan pembekal memastikan tiada gangguan pada pelaksanaan projek
  • Strategi perolehan syarikat dan pengukuhan nilai ringgit menghadkan impak terhadap margin bersih walaupun harga modul solar meningkat global
  • Solarvest meneruskan pertumbuhan dengan strategi kejuruteraan, pembinaan dan pemilikan aset sambil menyokong agenda peralihan tenaga bersih

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!