Maxis pindah beban kerja misi kritikal ke Wilayah AWS Malaysia

KUALA LUMPUR - Maxis Berhad (Maxis) memindahkan beban kerja misi kritikalnya dari Wilayah Amazon Web Services (AWS) Singapura ke Wilayah AWS Malaysia sekali gus menjadikannya penyedia telekomunikasi Malaysia pertama mencapai penanda aras ini.
Dalam kenyataan pada Khamis, Maxis memaklumkan langkah itu merangkumi 100 peratus beban kerja digital seperti aplikasi Maxis dan Hotlink yang berkhidmat untuk jutaan pelanggan.
Dengan menempatkan beban kerja secara tempatan, Maxis mengurangkan latensi, menghasilkan masa tindak balas yang lebih pantas dan pengalaman pengguna yang lebih lancar.
Langkah ini turut memacu kecekapan operasi dan model operasi yang lebih menjimatkan kos dengan menghapuskan trafik data rentas wilayah sekali gus membolehkan syarikat menumpukan perhatian kepada penciptaan nilai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Maklumat di Maxis, Ng May Ching berkata, dengan membawa pulang beban kerja misi kritikal ke tanah air pihaknya melindungi data di dalam sempadan Malaysia sambil meningkatkan kecekapan untuk berkhidmat kepada pelanggan dengan lebih baik.
“Ini akan memastikan infrastruktur kami berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan dalam menyokong agenda digital negara,” katanya.
Terdahulu Maxis memanfaatkan pasukan kejuruteraan awan dalamannya untuk menerajui peralihan ini.
Inisiatif ini menampilkan keupayaan teknikal syarikat sekali gus mencerminkan kepakaran yang telah dipupuk sejak perjalanan awannya bersama AWS bermula pada tahun 2016.
Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan di Maxis, Prateek Pashine, mengemudi migrasi awan tempatan untuk operasinya sendiri mengukuhkan keupayaan untuk membantu perniagaan Malaysia mencapai hasil yang sama.
“Kami berada pada kedudukan yang baik untuk membantu pelanggan menangani keperluan kedaulatan data sambil menyediakan ketersambungan yang pantas, diyakini dan selamat yang mereka perlukan untuk prestasi yang responsif,” katanya.
Bagi Pengurus Negara, AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali, rangkaian telekomunikasi adalah infrastruktur tidak kelihatan yang memastikan ekonomi digital Malaysia terus berjalan dan menggerakkan jutaan perkhidmatan kritikal setiap hari.
"Dengan membina atas Wilayah AWS Malaysia, kejayaan migrasi Maxis menunjukkan apa yang boleh dicapai dan memposisikan mereka untuk membimbing perusahaan Malaysia yang lain melalui transformasi awan mereka sendiri,” katanya.
Pada masa sama, pencapaian ini mengukuhkan lagi kerjasama antara Maxis dan AWS.
Sebagai Rakan AWS Advanced Tier Services dan Rakan AWS Direct Connect di Malaysia, Maxis menyediakan bimbingan pakar untuk membantu perniagaan membina, mengoptimumkan dan menyepadukan ketersambungan awan berprestasi tinggi yang selamat.
Ringkasan AI
- Maxis Berhad memindahkan beban kerja misi kritikalnya dari AWS Singapura ke AWS Malaysia, menjadi telekomunikasi Malaysia pertama lakukan ini
- Langkah ini merangkumi keseluruhan beban kerja digital Maxis dan Hotlink untuk berkhidmat kepada jutaan pelanggan
- Menempatkan beban kerja secara tempatan mengurangkan latensi untuk pengalaman pengguna yang lebih lancar dan responsif
- Pemindahan ini meningkatkan kecekapan operasi dan menjimatkan kos dengan menghapuskan trafik data rentas wilayah
- Kerjasama antara Maxis dan AWS mengukuh, menjadikan Maxis sebagai Rakan AWS Advanced Tier Services dan Rakan AWS Direct Connect di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

