IMF: KDNK Malaysia dijangka meningkat 4.3 peratus pada 2024

Malaysia mengamalkan ekonomi yang sangat terbuka, terutamanya dalam eksport produk elektrik dan elektronik. - Gambar hiasan
Malaysia mengamalkan ekonomi yang sangat terbuka, terutamanya dalam eksport produk elektrik dan elektronik. - Gambar hiasan
A
A
A

Singapura - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dijangka berkembang 4.3 peratus pada 2024, meningkat daripada pertumbuhan 4.0 peratus yang diunjurkan untuk 2023.

Ini terutamanya didorong oleh permintaan eksport global yang lebih tinggi, khususnya daripada sektor teknologi, demikian menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ketua Bahagian Kajian Serantau Asia Pasifik IMF Shanaka (Jay) Peiris berkata, Malaysia adalah ekonomi yang sangat terbuka, terutamanya dalam eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).

"Kami menjangkakan ekonomi global dan permintaan eksport akan pulih secara berperingkat, terutamanya untuk sektor teknologi yang juga akan turut meningkat tahun depan, dan ini akan menambah kepada tiga (peratus) atau lebih tinggi pertumbuhan yang kita ada di Malaysia menjelang tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersempena dengan penerbitan laporan Tinjauan Ekonomi Serantau (REO) IMF untuk Asia dan Pasifik di sini pada Rabu.

Mengenai inflasi Malaysia, beliau berkata, ia telah beransur-ansur perlahan, tetapi pembaharuan subsidi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini akan menimbulkan beberapa risiko mengenainya.

Namun begitu, beliau berpendapat bahawa pembaharuan subsidi akan menjadi one-off event dan langkah-langkah tambahan tidak perlu diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Ia masih bergantung kepada bagaimana inflasi berkembang, kesan pembaharuan subsidi dan juga persekitaran luaran dan perbezaan kadar faedah (berbanding kadar faedah Amerika Syarikat)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shanaka berkata saranan IMF untuk Malaysia dalam laporan terakhir menunjukkan bahawa dasar monetari seharusnya cukup terhad untuk menurunkan inflasi ke arah julat 2-3 peratus dalam jangka sederhana.

"Pada masa ini, kita telah melihat kadar faedah dinaikkan, dan inflasi telah perlahan-lahan turun. Jadi, dalam erti kata itu, kita berpendapat bahawa mengekalkan pendirian seumpama itu boleh membantu menurunkan inflasi,” katanya. - Bernama