Ekonomi global dijangka berkembang tiga peratus pada 2024

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

EKONOMI global diunjur berkembang sebanyak tiga peratus tahun depan hasil daripada pertumbuhan sederhana dalam kalangan ekonomi maju dan negara yang berkembang pesat dan sedang membangun (EMDE).

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) hari ini, pertumbuhan ekonomi maju dijangka terus menyederhana kepada 1.4 peratus seterusnya mempengaruhi pertumbuhan global.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu satu peratus dalam persekitaran dasar monetari yang ketat secara berterusan.

Manakala pertumbuhan di kawasan zon Eropah dijangka meningkat sedikit kepada 1.5 peratus disokong oleh aktiviti perkhidmatan dan pelancongan yang lebih kukuh.

"Pertumbuhan EMDE diunjur meningkat sebanyak 4.1 peratus dengan jangkaan ekonomi China menyederhana kepada 4.5 peratus disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dan pasaran buruh yang lemah.

"Manakala, pertumbuhan ASEAN-5 dijangka menyederhana sebanvak 4.5 peratus,” kata kementerian itu.

Sementara itu, perdagangan global diunjur bertambah baik kepada 3.7 peratus berikutan peningkatan aktiviti perdagangan di ekonomi maju sebanyak 3.2 peratus dan EMDE sebanyak 4.5 peratus.

Eksport ekonomi maju dijangka berkembang sebanyak 3.1 peratus dan import sebanyak 2.7 peratus manakala pada masa yang sama, eksport EMDE juga meningkat sebanyak 4.3 peratus dan import sebanyak 5.1 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Inflasi global diunjur berada pada 5.2 peratus didorong oleh jangkaan pelaksanaan dasar monetari yang lebih ketat dengan ekonomi maju mencatat 2.8 peratus dan EMDE sebanyak 6.8 peratus.

"Unjuran tersebut juga disokong oleh penambahbaikan dalam rantaian bekalan global serta penyederhanaan harga tenaga dan makanan,” katanya.

Sektor perkhidmatan domestik pula dijangka meningkat sebanyak 5.6 peratus pada 2024 didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor.

Di samping itu, aktiviti berkaitan pelancongan yang rancak serta perbelanjaan pengguna yang berterusan dijangka terus memacu pertumbuhan sektor ini.

Subsektor perdagangan borong dan runcit dijangka kekal sebagai penyumbang utama sektor perkhidmatan dengan jangkaan peningkatan sebanyak 5.6 peratus.

"Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pengembangan dalam segmen perdagangan runcit melalui penggunaan automasi yang lebih meluas, e-dagang dan pengalaman membeli-belah secara omnichannel (pelbagai saluran) yang membolehkan interaksi fizikal dan aktiviti dalam talian yang lancar,” kata Kementerian Kewangan. - Bernama