Bekas kelindan lori bebas tuduhan bakar 34 motosikal di PPR

Mohd Saiful Adey dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis daripada tuduhan membakar 34 motosikal di parkir PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, dua tahun lalu.
Mohd Saiful Adey dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis daripada tuduhan membakar 34 motosikal di parkir PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas kelindan lori menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan membakar 34 motosikal di parkir Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, dua tahun lalu.

Hakim, Norina Zainol Abidin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saiful Adey Mohd Noor, 36, di akhir kes pendakwaan.

“Setelah mendengar keterangan saksi pendakwaan dan meneliti hujahan semua pihak, pendakwaan gagal buktikan kes terbabit.

“Oleh itu, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.

Sebanyak 34 motosikal dilaporkan terbakar di kawasan parkir Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil pada Julai 2022 yang lalu.
Sebanyak 34 motosikal dilaporkan terbakar di kawasan parkir Blok G, Projek Perumahan Rakyat Kampung Muhibbah, Bukit Jalil pada Julai 2022 yang lalu.

Mohd Saiful Adey yang duduk di kandang tertuduh dengan tangannya bergari dilihat gembira selepas keputusan itu.

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn dan peguam, M Soosai Raj mewakili Mohd Saiful Adey.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding kes yang bermula 5 Oktober tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pada 30 September 2022, Mohd Saiful Adey didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cecair mudah terbakar iaitu petrol, sehingga menyebabkan motosikal terbabit hangus terbakar di parkir Blok G PPR berkenaan, jam 2.21 pagi, 6 Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28