Setiap teks khutbah disemak, dibincang jawatankuasa panel - JAIS

Abdul Aziz (tengah) melakukan simbolik pada Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS 2024 di sebuah hotel di Shah Alam pada Rabu.
Abdul Aziz (tengah) melakukan simbolik pada Majlis Perasmian Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS 2024 di sebuah hotel di Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa relevan dengan keadaan tertentu dan isu semasa berkaitan hal ehwal Islam yang berlaku di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tidak timbul dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan teks khutbah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Menurut beliau, setiap teks khutbah Jumaat akan disemak dan dibincangkan melalui Jawatankuasa Panel Khutbah.

"Tiada perkara negatif khutbah seperti itu, sebaliknya tidak salah kita mengingatkan umat Islam yang berada di masjid semasa solat Jumaat.

"Saya yakin dengan cara ini (khatib baca kandungan khutbah), mereka (jemaah masjid) boleh ingat semula terutama jika mereka berasa ragu-ragu (terhadap kandungan khutbah)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media serta Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah MAIS 2024 di sebuah hotel, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai luahan seorang pelakon yang meluahkan pandangannya berhubung topik zakat yang disampaikan oleh khatib sebelum solat Jumaat, baru-baru ini.

Pelakon itu mendakwa, seluruh masjid di Selangor atau pun sebahagian daripadanya memilih topik yang didakwa tidak sesuai dan tidak mendatangkan ‘feel’ kepada jemaah.

Artikel Berkaitan:

Abdul Aziz memberitahu, laporan zakat itu penting bagi memastikan rakyat tahu berapa hasil kutipan dan agihan wang zakat itu digunakan kepada asnaf memerlukan.

Beliau memberitahu, sebelum ini juga terdapat laporan negatif mengenai kutipan zakat di negeri ini.

"Walaupun (kes penyelewengan wang zakat) tak besar berlaku di negeri ini tetapi untuk tujuan itu kita tak mahu umat Islam di Selangor dan tempat lain berasa kurang yakin membayar zakat.

"Saya sendiri beritahu bahawa kita tak mahu berlaku (penyelewengan) wang zakat walaupun satu sen.

"Berilah keyakinan bahawa LZS (Lembaga Zakat Selangor) telah menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dan yakin agensi ini telah berusaha bersungguh-sungguh supaya perkara tidak diingini berlaku di Selangor," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS berjaya melaksanakan kutipan fidyah sebanyak RM12.5 juta tahun lalu.

"Jumlah itu melebihi sasaran RM11.5 juta yang ditetapkan dan RM11.9 juta daripadanya telah diagihkan kepada mereka yang layak.

"Tahun ini, MAIS menyasarkan kutipan fidyah sebanyak RM14 juta," katanya.