Ringgit rendah susulan tindakan mengejut China turunkan kadar utama pinjaman

Mengikut laporan Bloomberg, mata wang tempatan itu susut seketika melepasi 4.8 berbanding dolar AS pada hari ini. - Gambar hiasan
Mengikut laporan Bloomberg, mata wang tempatan itu susut seketika melepasi 4.8 berbanding dolar AS pada hari ini. - Gambar hiasan
A
A
A

LANGKAH bank pusat China, People’s Bank of China (PBOC) menurunkan kadar utama pinjaman melebihi jangkaan pasaran, mendorong mata wang utama, termasuk ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 4.7975/8000 berbanding dolar AS daripada paras 4.7850/7890, semalam.

Mengikut laporan Bloomberg, mata wang tempatan itu susut seketika melepasi 4.8 berbanding dolar AS pada hari ini.

Ringgit yang pernah mencecah paras terendah 4.8850 pada 1998, menyaksikan paras rintangan segeranya hari ini pada 4.80 selepas mencecah 4.7958.

Pasaran terbukti gelisah selepas PBOC bertindak menurunkan 25 mata asas dalam kadar utama pinjaman (LPR) lima tahun kepada 3.95 peratus -- lebih besar daripada jangkaan pasaran sebanyak 10 mata asas.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keadaan turut diasak oleh sentimen berhati-hati menjelang pengumuman minit mesyuarat FOMC pada 21 Feb, 2024.

Beliau berkata, ringgit secara amnya juga rendah berbanding dolar AS hari ini (-0.11 peratus) dan seiring dengan prestasi sama yang dicatatkan oleh renminbi China (-0.06 peratus), rupiah Indonesia (-0.06 peratus), dolar Taiwan (-0.13 peratus) dan peso Filipina (-0.18 peratus).

"Oleh kerana Rizab Persekutuan AS dijangkakan tidak mengubah hala tuju dasar monetari, dolar AS sebaliknya memerlukan sokongan yang baik dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini ada benarnya terutama apabila (peratusan) kemungkinan pengurangan kadar faedah AS pada Mac telah berkurangan daripada 81.5 peratus pada awal Januari 2024 kepada 11.6 peratus ketika ini," katanya kepada Bernama.

Sejajar dengan perkembangan semasa, Mohd Afzanizam menjangkakan ringgit dalam keadaan kurang memberangsangkan dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, mengulas prestasi ringgit, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan bahawa paras semasa ringgit tidak mencerminkan prospek ekonomi Malaysia yang positif di masa akan datang.

"Prestasi ringgit baru-baru ini, sama seperti mata wang serantau lain, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Antara faktor tersebut termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah AS yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, ringgit rendah berbanding kumpulan mata wang utama, termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 3.1926/1945 daripada 3.1913/1942, semalam.

Unit tempatan itu juga rendah berbanding pound Britain kepada 6.0468/0499 daripada 6.0358/0408 dan turun berbanding euro kepada 5.1799/1826 daripada 5.1558/1601.

Ringgit juga menyusut berbanding kebanyakan mata wang Asean iaitu turun berbanding baht Thailand kepada 13.3016/3148 daripada 13.2806/2976, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.5672/5693 berbanding 3.5555/5587 dan hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia pada 3.306/306.6 daripada 3.06.0/306.5.

Berbanding peso Filipina, ringgit rendah kepada 8.56/8.57 daripada 8.53/8.54 semalam. - Bernama