PM, Jemaah Menteri perlu beri jawapan kejatuhan nilai ringgit

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri digesa untuk memberikan jawapan kepada faktor kejatuhan nilai ringgit, bukannya menyalahkan pihak lain.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, ia susulan nilai ringgit ketika ini berada pada paras terburuk dalam tempoh tiga dekad.

"Semalam kerajaan kata nilai ringgit lemah sebab faktor luaran. Jika ini betul-betul benar, nilai ringgit akan bercampur-campur berbanding mata wang asing yang lain.

"Tetapi fakta sebenar adalah nilai ringgit jatuh berbanding kebanyakan mata wang negara lain dan terhempas ke paras terendah dalam 26 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ringgit jatuh berbanding euro, pound Britain, dolar Australia dan sebagainya.

"(Jadi) ini bukan sekadar faktor luaran (tetapi) ini faktor dalaman, atau faktor bagaimana pelabur luar melihat kepada keadaan pengurusan ekonomi," katanya dalam menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Data yang dikongsi oleh Isham Jalil menerusi hantaran di Facebook pada Rabu
Data yang dikongsi oleh Isham Jalil menerusi hantaran di Facebook pada Rabu

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada Selasa dilaporkan berkata, prestasi semasa ringgit dipengaruhi oleh faktor luaran sama seperti mata wang serantau lain.

Jelasnya, sebahagian daripada faktor itu termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah AS, kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pertumbuhan pada 2024 akan dipacu oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

Sebelum itu, Anwar memaklumkan segala persoalan mengenai prestasi ringgit akan dijawab oleh Abdul Rasheed.

Ujarnya, ia berikutan Abdul Rasheed sudah berjanji untuk menjelaskan mengenai perkara itu.

Mengulas lanjut, Isham berkata, keadaan tersebut menjadi punca tahap pelaburan asing langsung (FDI) ke Malaysia jatuh teruk dan merosot hampir separuh iaitu -47 peratus daripada RM74.5 billion kepada RM39.5 billion sepanjang setahun di bawah pentadbiran Anwar.

"Anwar dan menteri-menteri perlu jawab. Jangan salahkan orang lain," ujarnya.