Langkah penting buat rakyat Palestin

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan lisan Malaysia dalam sesi pendengaran awam Pendapat Nasihat melalui Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin boleh digunakan sebagai prosiding di mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perkara tersebut penting bagi menentang dan membantah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Beliau berkata, pada Khamis ini (waktu tempatan), seramai 12 negara termasuk Malaysia, China, Iran, Iraq, Ireland, Jepun, Jordan, Kuwait, Lebanon, Libya, Luxembourg dan Mauritius akan menyertai sesi tersebut.

“Kenyataan ini penting bagi menunjukkan solidariti Malaysia kepada Palestin atas faktor kemanusiaan, juga perlu dilihat bagi membantah kezaliman rejim Zionis yang melakukan pendudukan haram di tanah berdaulat milik Palestin.

“ICJ akan mengeluarkan Pendapat Nasihat ini untuk digunakan oleh semua negara di peringkat PBB nanti.

Rakyat Palestin berjalan melepasi timbunan sampah di jalan utama di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas.
Rakyat Palestin berjalan melepasi timbunan sampah di jalan utama di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas.

“Ini adalah langkah awal yang kita akan lakukan setelah sekian lama undang-undang antarabangsa ini diabaikan oleh masyarakat dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Zainul Rijal berkata, penentangan tersebut perlu disokong oleh semua pihak kerana rejim Zionis bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga menafikan hak rakyat Palestin sebagai negara berdaulat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan Malaysia mempertahankan Palestin di peringkat antarabangsa adalah untuk terus bersama-sama menentang konflik yang berlaku.

“Rejim Zionis datang ke Palestin bukan dalam keadaan tempat itu kosong, tetapi berpenghuni dan mereka tidak boleh membuat sebarang penempatan serta pendudukan kerana dalam undang-undang antarabangsa, mereka (Israel) tinggal sementara.

“Sekarang tanah Palestin sudah menjadi wilayah dan dijajah. Perkara ini sama sekali bertentangan undang-undang dan perlu dihentikan,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28